PETALING JAYA: Notis rayuan akan difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perintah larangan akses terhadap wang pelaburan berjumlah RM548 juta dalam akaun bank di Singapura yang didakwa dimiliki oleh Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, anaknya dan tujuh pihak lain.
SPRM dalam kenyataan berkata, perkara ini telah dibawa kepada perhatian Jabatan Peguam Negara.
“SPRM mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan SPRM bagi mendapatkan perintah larangan akses terhadap aset bernilai RM548 juta didakwa dimiliki isteri Na’imah, anaknya serta tujuh pihak lain di beberapa buah akaun bank Singapura.
Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan selaku pemohon gagal memenuhi peruntukan Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Pada 19 Jun lalu, SPRM selaku pendakwa raya memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) untuk menghalang Na’imah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin Daim, dua individu, lima syarikat atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan harta yang berada di luar Malaysia iaitu wang pelaburan £21 juta dan AS$99 juta di Singapura.
Permohonan difailkan mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA 2001 susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA. – UTUSAN










