HIV, AIDS: Semua pihak perlu berganding bahu ubah diskriminasi

Semua pihak perlu berganding bahu ubah diskriminasi terhadap HIV, AIDS

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) berkenan menyaksikan penyerahan zakat bersempena Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat MAIPs di Masjid Putra Simpang Empat, Arau, Perlis, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Semua pihak sama ada kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) perlu terus berganding bahu menangani stigma dan diskriminasi terhadap kumpulan orang yang hidup bersama HIV (PLHIV) sebagai tanda sokongan terhadap golongan berkenaan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kerjasama semua pihak itu penting berikutan usaha untuk mengakhiri AIDS bukanlah satu tugas yang mudah.

Titah baginda, peranan dimainkan pihak terlibat dapat membantu dalam menyokong golongan berkenaan untuk hidup bersama masyarakat tanpa rasa terpinggir. 

“Di samping itu, penggunaan teknologi terkini haruslah dipertingkatkan lagi bagi membolehkan akses kepada rawatan dan perkhidmatan HIV menjadi mudah serta pantas,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan simbolik Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Putra Simpang Empat, di sini hari ini.

Hadir sama mengiringi baginda adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Hari AIDS Sedunia disambut pada 1 Disember setiap tahun dan pada kali ini, tema yang dipilih adalah ‘Equalize: Kesaksamaan Untuk Kesihatan Bagi Mengakhiri AIDS’.

Bersempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan bagi menyerahkan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Makmur, Kampung Bongor Kudung untuk diagihkan oleh amilnya, Mohd. Fitri Mohd. Rodzi.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah agar golongan berisiko seperti kanak-kanak, ibu mengandung, pekerja seks, penagih dadah dan penghuni penjara tidak dipinggirkan daripada mendapat  akses kepada perkhidmatan asas HIV.

“Kunci utama untuk mencapai kejayaan dalam usaha ini adalah untuk memastikan golongan ini tidak dipinggirkan daripada mendapat akses kepada perkhidmatan asas HIV yang merangkumi aspek pencegahan, rawatan dan pemulihan,” titahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN