PETALING JAYA: Kerajaan harus peka dengan dinamik sokongan rakyat terhadap kerajaan terutama selepas mendapat keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Padang Serai dan Tioman.
Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau kini memberi tumpuan meneliti keputusan kedua-dua PRK itu bagi memahami harapan rakyat terutamanya terhadap Barisan Nasional (BN).
“Kebetulan dua siri pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan Parlimen Padang Serai baru sahaja selesai. Saya sedang mengkaji dan meneliti keputusan bagi dua kerusi tersebut untuk melihat mood serta sentimen rakyat khususnya arah sokongan yang diberikan.
“Penting untuk memahami sokongan tersebut terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti. Apatah lagi, ia banyak bergantung kepada ahli-ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.
“Ini mesti diberi perhatian, kerana saya percaya dalam perjuangan jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti,” katanya.
Dalam PRK Padang Serai, Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi itu daripada PH selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menewaskan pesaing terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak yang mewakili PH, dengan majoriti 16,260 undi.
Sementara itu, DUN Tioman pula, Datuk Seri Johari Hussain yang wakili BN, berjaya mengekalkan kerusi itu untuk penggal keempat dengan majoriti tipis 573 undi dalam pertembungan lima penjuru. Pesaing terdekatnya, Nor Idayu Hashim daripada PN, meraih 7,507 undi.
Hishammuddin berkata beliau kini mempunyai lebih banyak masa untuk terus menyumbang kepada perjuangannya tanpa berada dalam Kabinet.
“Buat rakan-rakan pimpinan khasnya daripada BN yang menganggotai Kabinet, saya ucapkan selamat maju jaya. Saya tahu Kerajaan baru ini harus menangani dan menyelesaikan pelbagai isu serta cabaran yang amat mendesak demi rakyat dan negara.
“Antaranya, kos sara hidup dan kedudukan ekonomi semasa. Saya mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab, dipermudahkan.
“Walaupun tidak mudah, kita harus terus melangkah ke hadapan untuk berjuang. Saya tidak mahu menunding jari menyalahkan sesiapa dan saya juga tidak menyalahkan parti. Saya orang perjuangan dan akan tetap istiqamah demi UMNO,” katanya.- UTUSAN









