fbpx

Feri penumpang dan kapal tangki ditahan pindah minyak tanpa kebenaran

FERI penumpang dan kapal tangki yang ditahan selepas melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Langkawi.
LANGKAWI: Sebuah feri penumpang dan kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis bersama 14 anak kapal termasuk dua nakhoda kerana didapati memindahkan minyak secara haram di sini, semalam.

Pengarah agensi berkenaan, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kedua-dua kapal tersebut ditahan pada kedudukan 0.9 batu nautika, utara Pulau Dayang Bunting, di sini, pada pukul 7.35 petang.

Menurutnya, penahanan tersebut dibuat melalui rondaan rutin oleh bot Maritim Malaysia semasa melaksanakan Op Aman di perairan Langkawi.

“Kedua-dua kapal tangki dan feri tersebut berada dalam keadaan mencurigakan apabila merapat antara satu sama lain.

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti pemindahan minyak atau ship to ship (STS) transfer,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Romli, kapal tangki tersebut membawa seorang nakhoda, lima anak kapal warga Indonesia dan dua anak kapal warga tempatan, manakala feri penumpang tersebut membawa seorang nakhoda bersama tujuh anak kapal warga tempatan.

Kesemua feri, kapal dan anak kapal berusia lingkungan 19 hingga 63 tahun dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(I) dan Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak antara kapal tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Romli berkata, sekiranya didapati bersalah pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN