Fahmi mahu jumpa penyedia perkhidmatan media sosial - Utusan Malaysia

Fahmi mahu jumpa penyedia perkhidmatan media sosial

FAHMI Fadzil pada hari pertama memulakan tugas di Kementerian Komunikasi dan Digital di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil akan bertemu kesemua penyedia perkhidmatan media sosial di negara ini dalam masa terdekat bagi membincangkan tentang isu penyebaran maklumat palsu dan kandungan yang bersifat ekstrem.

Selain itu katanya, pertemuan tersebut bakal membincangkan isu-isu berkaitan kerangka kawal selia (regulatory framework) serta keselamatan data peribadi.

“Antara perkara utama saya tegaskan kepada KSU (Ketua Setiausaha) adalah tentang isu keselamatan data peribadi (kerana) saya risau tentang masalah yang kita hadapi dalam media sosial pada waktu ini terutamanya penyebaran maklumat palsu atau kandungan yang agak ekstrem dan melampau.

“Saya percaya selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa penyedia perkhidmatan media sosial termasuk TikTok, saya akan dapat faham terutama dari segi kerangka kawal selia.

“Saya harap semua penyedia perkhidmatan media sosial akan sangat prihatin tentang undang-undang dalam negara kita, keperluan untuk sentiasa menjamin keharmonian serta perpaduan dalam kalangan rakyat dan berharap mereka akan dapat membantu ke arah usaha ini,” katanya menerusi sidang akhbar pertamanya di sini hari ini.

Dalam masa sama, Fahmi turut melahirkan kerisauan terhadap kandungan serta penyebaran video-video berkait peristiwa 13 Mei di media sosial.

Terdahulu, Fahmi memulakan tugas rasminya di Kementerian Komunikasi Digital dengan menerima taklimat lebih dua jam daripada pengurusan kanan kementerian.

Fahmi berkata, selain pertemuan bersama agensi dan jabatan kementerian, beliau turut diberi taklimat mengenai status membabitkan projek, inisiatif termasuk cadangan pembentukan Majlis Media dan penelitian semula Bajet 2023.

“Saya sangat berpuas hati dengan taklimat hari ini tapi saya percaya banyak lagi akan saya sampaikan dalam masa dua minggu ini selepas meneliti setiap agensi dan jabatan.

“Mengenai Bajet 2023, ia ada dibangkitkan dalam pertemuan tadi, tapi saya harap boleh dapatkan perincian terlebih dahulu daripada kementerian kerana perlu faham bagi dapatkan gambaran lebih menyeluruh.

“Berkenaan Majlis Media pula, saya secara peribadi amat komited dengan media bukan kerana persahabatan tetapi mengambil kira profesionalisme, bukan sahaja mengenai kebebasan media tetapi juga melihat aspek membabitkan kebajikan wartawan,” jelasnya.

Sebelum ini, cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia disuarakan peserta Wacana Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 2018 yang mewakili pelbagai pertubuhan media dari seluruh negara dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Datuk Zulkifli Salleh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya