Enam PPS di Hulu Terengganu dinaiki air tutup - Utusan Malaysia

Enam PPS di Hulu Terengganu dinaiki air tutup

PPS di Kampung Bukit Tokbat, Hulu Terengganu antara PPS yang turut dinaiki air susulan bencana banjir di daerah itu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Sebanyak enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menjadi tempat perlindungan mangsa banjir dinaiki air dalam kejadian banjir di daerah ini setakat pukul 3 petang, hari ini.

Enam PPS terlibat terletak di Kampung Lubuk Periuk, Kampung Paya Besar, Kampung Kepah, Kampung Bukit Tokbat, Kampung Padang Setar dan Kampung Pengkalan Ajal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanafi Mohd berkata, selain berpindah ke PPS baharu, sebahagian mangsa cuma berada di tingkat atas bangunan PPS yang bertingkat.

“PPS di Lubuk Periuk, Kepah dan Padang Setar antara yang telah dinaiki sejak malam tadi, manakala, PPS Paya Besar dan Bukit Tokbat pagi tadi.

“Ada mangsa yang berpindah sendiri dari PPS ke tempat selamat manakala PPS Paya Besar, operasi pemindahan mangsa dijalankan pihak bomba 9 pagi. Seramai 89 orang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kuala Berang,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, di sini, hari ini.

Sementara itu, setakat jam 4 petang ini sebanyak 50 PPS dibuka di daerah ini melibatkan seramai 5,726 mangsa daripada 1,799 keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN