Kuadran negara tumbang kepada Korea Selatan

Kuadran negara tumbang kepada Korea Selatan

PASUKAN Sepak Takraw Malaysia beraksi ketika menentang pasukan Korea Selatan pada aksi kedua Kumpulan C acara kuadran pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad kuadran negara terpaksa akur selepas tewas pada aksi kedua Kumpulan C Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi apabila tunduk 1-2 kepada Korea Selatan.

Barisan negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Mohamad Fetri Mohd Azwadi, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi dilihat bergelut sejak awal permainan apabila melakukan beberapa kesilapan mudah terutama dalam aspek servis dan rejaman.

Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya Korea Selatan untuk menguasai rentak permainan sekali gus meraih momentum sebelum memenangi set pertama dengan keputusan 15-8.

Tersentak dengan kekalahan set pembukaan, skuad negara melakukan perubahan pada set kedua apabila Muhammad Shahalril Aiman Halim dibawa masuk menggantikan Fetri. sekaligus pertukaran itu nyata memberi impak segera apabila ketajaman rejaman negara kembali menyengat.

Suntikan semangat tersebut berjaya mengubah corak permainan anak buah Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif yang tampil lebih agresif sebelum mencuri kemenangan set kedua 15-11 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

REJAMAN Muhammad Afifuddin Mohd Razali tidak melepasi jaring sekaligus memberi mata buat Korea Selatan-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Aksi set ketiga berlangsung cukup mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas mata dalam perlawanan sengit yang menguji mental dan ketahanan fizikal.

Bagaimanapun, konsistensi dipamerkan skuad bimbingan Youn Jung Woo akhirnya menjadi pemisah apabila Korea Selatan menutup perlawanan dengan kemenangan 15-13, sekali gus menghidupkan semula peluang mereka memburu slot suku akhir apabila tewas kepada India pada aksi pertama.

KOREA SELATAN berjaya menutup set ketiga dengan kemenangan 15-13 sekaligus menghidupkan semula peluang mara ke suku akhir-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia kini berdepan misi wajib menang ke atas India pada aksi terakhir malam ini bagi memastikan peluang mara ke suku akhir terus bernyawa.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan C, India mengesahkan status juara kumpulan selepas menewaskan Singapura 2-0 sekali gus mengunci slot ke suku akhir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN