Data `lapuk', maklumat ekologi, alam sekitar perlu kajian baharu

Data sudah `lapuk’, maklumat ekologi, alam sekitar perlu kajian baharu

Ketiadaan kajian terbaharu mengenai ekologi dan alam sekitar yang menyeluruh menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat menentukan tahap keselamatan sesuatu kawasan pada masa ini. - MINGGUAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu melakukan kajian terbaharu mengenai ekologi alam sekitar yang menyeluruh dan tidak bergantung kepada data ‘lapuk’ kerana ia tidak lagi sesuai dalam menentukan tahap keselamatan sesuatu kawasan  dan perubahan iklim ketika ini.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damien Thanam Divean berkata, walaupun data-data lama menunjukkan hutan negara mampu mencegah risiko banjir atau bencana alam, ia memberi kesan berbeza kepada keadaan semasa terutama ketika negara menghadapi situasi cuaca ekstrem kerana perubahan iklim.

Jelas beliau, kawasan-kawasan hutan yang tidak pernah mengalami tanah runtuh akibat hujan tetapi kini menghadapi bencana tersebut walaupun ia merupakan kawasan yang tiada aktiviti manusia atau diganggu, sekali gus menandakan cara baharu perlu dikemukakan melalui kajian untuk memastikan keselamatan masyarakat terjaga.

“Kita masih guna data, cara dan garis panduan yang lama sejak 65 tahun lepas untuk menyelenggara tebing serta lereng bukit. Kajian baharu perlu dilakukan untuk mendapatkan teknik yang boleh digunapakai bagi keadaan semasa.

“Memang ada perubahan sedikit kaedah tetapi kita masih tidak dapat atasi kitaran keburukan akibat pemanasan global dan cuaca ekstrem yang berlaku dengan sangat cepat. Apa yang dialami sekarang jelas menunjukkan kita tidak tahu di mana tanah runtuh mahupun banjir boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, negara digemparkan dengan tragedi tanah runtuh sehingga mengorbankan 30 nyawa daripada 92 mangsa keseluruhan yang sedang melakukan aktiviti perkhemahan di kawasan berkenaan yang turut dilaporkan beroperasi secara haram kerana tiada lesen khusus.

Damien Thanam berkata, kerajaan juga perlu bersikap terbuka dari segi kos memandangkan ia adalah perkara baharu yang mungkin akan kekal berdekad, jadi jangka masa kajian akan menjadi lama untuk mengikuti lebih banyak perubahan.

“Memang untuk lakukan kajian ini akan menelan kos yang tak dapat kita anggarkan kerana ia adalah fenomena baharu di Malaysia terutamanya. Namun, kerajaan harus terbuka kepada kos tambahan dan kepakaran yang mungkin diperlukan pada masa akan datang kerana ini adalah perkara baharu,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman ketika mengulas mengenai tragedi di Batang Kali Jumaat lalu merasakan dua pihak perlu memainkan peranan.

“Sama ada pemilik tanah mahupun pihak berkuasa, kedua-duanya perlu lebih maklum. Sebagai contoh, sekiranya kawasan itu hanya boleh dijadikan sebagai tempat tanaman organik maka sebagai pemilik perlu bertanggungjawab jangan jadikan ia sebagai tapak perkhemahan.

“Begitu juga dengan pihak berkuasa, mereka perlu ambil maklum dengan apa yang jadi di kawasan seperti sama ada terdapat individu membangunkan tapak komersial di tanah yang tidak sepatutnya. Pastikan pengusaha-pengusaha perkemahan mendapat kelulusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN