Dana, inisiatif kerajaan perlu sampai golongan sasaran - PM

Dana, inisiatif kerajaan perlu sampai golongan sasaran – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan komitmen mahu memastikan semua dana dan inisiatif sedia ada sampai kepada kumpulan sasar sekali gus memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri berkata, antara tumpuan Kerajaan Perpaduan adalah memacu ekonomi tetapi dalam masa sama ia mesti memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya mahu pastikan dana sedia ada sampai kumpulan sasaran. Kita akan pastikan Jemaah Menteri dan semua kementerian memberi fokus yang sama kerana saya mahu Malaysia bukan saja membicarakan hidup rakyat dan orang Melayu tetapi betul-betul mendokong dan membantu rakyat susah supaya hidup dengan selesa.

“Semua menteri, ketua setiausaha dan jentera kerajaan perlu sedia melakukan anjakan bagi memberi tumpuan kepada akar umbi maka kita dapat saksikan dalam tempoh terdekat akan ada perubahan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini hari ini.

Penganjuran konvensyen ini disertai seramai 2,500 penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara.

Selain itu, konvensyen ini juga disertai rakan strategik KUSKOP seperti Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Gabungan Persatuan dan Penjaja Malaysia (G3PM), Yayasan Peniaga Kecil dan Penjaja Malaysia serta Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil India di negeri Selangor.

Anwar berkata, Malaysia mempunyai pelbagai agensi bantuan kewangan dan bank seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional serta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Katanya, dengan pelbagai kemudahan itu, maka harus dipastikan benar-benar berkesan bagi menjamin nasib rakyat untuk hidup lebih selesa.

“Seperti lawatan saya pagi tadi di Dewan Bandar Kuala Lumpur (DBKL), satu sahaja arahan diberikan iaitu pihak berkuasa tempatan perlu ada anjakan bahawa keindahan Kuala Lumpur mestilah disertakan tempat perniagaan penjaja dan peniaga kecil.

“Ibu kota harus indah dan bersih. Bukan saja ada gedung pencakar langit, bank dan syarikat perniagaan besar tetapi perlu diselitkan kemudahan penjaja dan peniaga kecil di mana saja ada lorong atau tempat awam dengan kemudahan asas,” katanya.

Perdana Menteri turut mengarahkan penekanan ini perlu dilakukan segera atau dalam tempoh tiga bulan dengan dibantu semua kementerian dengan memberi fokus kepada merakyatkan ekonomi.

“Semua perlu ingat, setiap dana harus digunakan dengan cermat dan kita (Kerajaan Perpaduan) dipertanggungjawabkan bukan sahaja kepada rakyat tetapi Allah SWT.

“Saya harap anda semua (rakyat) akan menyaksikan budaya baharu dalam negara ini supaya pembaziran tidak berlaku hingga menggondolkan kekayaan negara,” katanya.

Terdahulu, Anwar turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Peserta Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil kepada 16 orang penerima yang berjaya menunjukkan kemajuan memberangsangkan dalam perniagaan setelah mengikuti latihan melalui program keusahawanan anjuran KUSKOP.

Manakala Anugerah Khas Jasamu Dikenang diberikan kepada Allahyarham Datuk Ramli Norani iaitu bekas Presiden GPPPKMM dan juga ahli Majlis Perundingan
Penjaja dan Peniaga Kecil (M3PK) sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperjuangkan nasib komuniti penjaja dan peniaga kecil di Malaysia sejak tahun
2012. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya