KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperhalusi program bantuan bersasar, memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta menambah baik kemudahan kesihatan dan pendidikan bagi memastikan kesejahteraan rakyat kekal terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha membendung kos sara hidup turut dilaksanakan secara berperingkat dan berhemah agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih stabil dan sejahtera.
Katanya, ekonomi negara ketika ini terus menunjukkan pertumbuhan yang meyakinkan meskipun berdepan cabaran semasa.
“Pelaburan domestik dan asing mencatat peningkatan, kadar pengangguran kekal rendah manakala keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia semakin kukuh.
“Reformasi fiskal yang dilaksanakan dengan berhemah, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana serta agenda transformasi digital membuka ruang dan peluang pekerjaan bermutu khususnya buat generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menjunjung kasih atas pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang disifatkan sebagai bijaksana serta sentiasa menjadi lambang penyatuan dan keluhuran negara.
“Didoakan agar Allah SWT melimpahkan rahmat dan kesejahteraan ke atas Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja dan semoga Seri Paduka Baginda kekal qarar memerintah dengan penuh daulat, hikmah dan kebesaran.
“Seluruh rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda serta memperteguh azam serta ikhtiar bersama demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air tercinta,” katanya. – UTUSAN










