Kerajaan tekad agihan adil kepada semua negeri, bela golongan miskin

Kerajaan tekad agihan adil kepada semua negeri, bela golongan miskin

ANWAR Ibrahim ketika berucap semasa Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad melaksanakan dasar yang saksama bagi menjamin pengagihan kepada semua negeri dan wilayah khususnya kepada golongan miskin serta terpinggir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu selaras dengan penekanan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim terhadap kepentingan tatakelola yang teratur serta usaha memerangi pemunggahan kekayaan kepada kelompok kecil.

“Malah, sejak awal Tuanku telah menekankan kepentingan tatakelola teratur, memerangi pemunggahan kekayaan kepada kelompok kecil.

“Kerajaan bertekad untuk melaksanakan dasar yang saksama, menjamin pengagihan kepada semua negeri dan wilayah terutama dalam kalangan miskin dan terpinggir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, di bawah naungan Sultan Ibrahim, negara terus melangkah dengan penuh tertib dan keyakinan berpaksikan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Katanya, Kerajaan Madani terus tegak dan kukuh dengan kesetiaan serta perpaduan rakyat yang dipupuk dengan semangat dan tekad untuk membina negara meskipun berdepan cabaran serta sikap perkauman.

“Demikian hikmah yang kita warisi dari leluhur bangsa dan pejuang kemerdekaan.

“Maka muafakat keramat negara tersebut telah menzahirkan Perlembagaan yang menyediakan sistem yang mewajarkan kehadiran sistem beraja sebagai pemelihara agama Islam serta menjamin keadilan dan kesaksamaan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, rakyat Malaysia kini berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan dunia termasuk tekanan ekonomi global, perubahan iklim, ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta dinamika geopolitik serantau yang semakin kompleks.

“Kesan perkembangan tersebut dirasai di seluruh dunia sekali gus menuntut kerajaan mengemudi negara dengan lebih bijaksana melalui dasar dan ikhtiar yang mampu menjamin kestabilan serta mengurangkan beban rakyat.

“Di antara prakarsa yang dihamparkan termasuk langkah penjimatan cermat, penyasaran subsidi minyak RON95 dan Budi Madani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN