Berhenti kerja jaga sahabat derita kencing manis kronik - Utusan Malaysia

Berhenti kerja jaga sahabat derita kencing manis kronik

MOHD. HANIF Othman bersama Mohd. Zulyadain Mohamad Radzi ketika ditemui di Kampung Jarak Atas dekat Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Seorang lelaki dari Kampung Jarak Atas di sini rela hilang pekerjaan tetap demi menjaga kebajikan sahabatnya yang menghidap penyakit kencing manis kronik.

Mohd. Hanif Othman, 33, berkata, meskipun tidak mempunyai sebarang pertalian darah dan hanya mengenali Mohd. Zulyadain Mohamad Radzi, 38, ketika sama-sama bekerja hampir tiga tahun lalu, namun perkara itu bukan halangan baginya kerana sudah menjadi adat dalam persahabatan untuk menghulurkan bantuan di saat mereka memerlukan.

“Sebelum ini, kami bekerja kilang di Bayan Lepas, tapi selepas Mohd. Zulyadain didiagnos menghidap kencing manis dan pihak hospital menyarankan kaki kanannya dipotong sehingga pangkal paha pada pertengahan tahun ini membuatkan saya terfikir berhenti kerja bagi menguruskan keperluannya.

“Ini kerana kedua ibu bapanya sudah meninggal dunia manakala enam adik-beradiknya masing-masing sudah berkeluarga dan bukanlah dari keluarga yang senang. Jadi, saya rasa terpanggil untuk menjaganya semampu mungkin,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia yang masih bujang menambah, hasil pendapatan yang diterima dengan melakukan kerja-kerja seperti memotong rumput serta menebang pokok di sekitar kampung akan digunakan untuk membeli barangan keperluan harian dan ubatan sahabatnya selain membayar sewa rumah yang mereka diami bersama setiap bulan.

“Setiap bulan saya perlu bayar sewa rumah sebanyak RM350 selain perlu beli barangan dapur dan ubatan Mohd. Zulyadain. Mujur kedua ibu bapa saya faham keadaan kami dan sentiasa memberi sokongan.

“Adik-beradiknya juga menghulurkan bantuan mengikut kemampuan setiap kali datang melawat dan saya faham situasi mereka malah tidak memaksa (beri bantuan),” kata anak kedua dari enam beradik itu.

Sementara itu, Mohd. Zulyadain berkata, berikutan kakinya terpaksa dipotong, rutin hariannya berubah dan kini bergantung sepenuhnya kepada Mohd. Hanif untuk bergerak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya