Banjir: 53 tong jadi pelampung kedai kopi

Banjir: 53 tong jadi pelampung kedai kopi

KEDAI kopi Apran Amat dipasang tong pelampung untuk keselamatan ketika musim banjir di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Persediaan awal seorang pekedai kopi memasang tong pelampung di lantai kedai miliknya membuahkan hasil apabila usaha tersebut menyelamatkan premis perniagaannya itu daripada dihanyutkan air banjir di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik kedai berke­naan, Apran Amat, 78, berkata, dia memikirkan keselamatan kedai kopinya lebih awal memandangkan keadaan cuaca sejak pertengahan tahun ini tidak menentu sehingga kadangkala air Sungai Tembeling di sini kerap pasang selepas hujan lebat.

“Sebagai persediaan ber­de­­pan kemungkinan benca­na (banjir) ini berlaku pada bila-bila masa, saya segera ke bandar Jerantut mengeluarkan wang simpanan RM4,240 untuk menyediakan tong bagi mengapungkan kedai kopi saya yang terletak berdekatan tebing Sungai Tembeling,” katanya di Kampung Bantal di sini semalam.

Menurut Apran, mahu tidak mahu, dia terpaksa mengeluarkan wang simpanan yang agak banyak untuk membeli tong pelampung bagi menyelamatkan kedai kopinya daripada dihanyutkan air banjir.

“Sebenarnya, wang membeli tong pelampung ini saya simpan hasil berniaga nasi lemak, kuih-muih dan minuman kepada penduduk di sini.

“Sebagai persediaan waktu banjir dan menyelamatkan kedai ini, sebanyak 53 tong de­ngan harga RM80 sebuah diperlukan untuk mengapungkan tempat (kedai) ini ketika air melimpah ke dataran kampung ini,” katanya.

Cerita warga emas itu, tong berkenaan dibeli daripada sebuah kedai peralatan binaan di bandar Jerantut yang jaraknya sejauh 130 kilometer dengan Kampung Bantal.

“Saya dibantu anak lelaki mengambil masa hampir seminggu mengikat tong ini di bahagian bawah lantai (pelapik) yang dibuat khas bagi memudahkan kedai ini terapung apabila air Sungai Tembeling melimpah ke darat.

“Kini saya bersyukur dan lega kerana peralatan kedai, kerusi meja, bahan minuman dan makanan selamat kerana kedai kopi saya terapung dan tidak hanyut setelah diikat dengan tali besi pada sebatang pokok besar di tepi sungai ini,” katanya.

Ujar Apran, dia tidak membuka kedainya untuk pelanggan dalam tempoh banjir ini dan akan beroperasi semula setelah air surut nanti.

Seorang penduduk Kampung Bantal, Japrun Ali, 63, berkata, kebanyakan pemilik kedai dan rumah yang dibina berdekatan Sungai Tembeling sudah membuat persediaan awal dengan memasang tong pelampung untuk mengelakkan kediaman dimasuki air.

“Fenomena ini merupakan perkara yang biasa bagi kebanyakan penduduk berdekatan Sungai Tembeling memasang tong pelampung bagi kalangan mereka yang mampu,” katanya.

Menurutnya, ibarat kata orang tua dahulu, ‘Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’ dan penduduk di pesisir Sungai Tembeling di sini tetap berani dan tabah dengan apa cara sekalipun untuk menyelamatkan kediaman mereka daripada ancaman banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×