Aliran trafik KTM Butterworth teruk; KTMB jawab aduan pengguna - Utusan Malaysia

Aliran trafik KTM Butterworth teruk; KTMB jawab aduan pengguna

KERATAN akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan Forum semalam mengenai aduan seorang pengguna KTMB yang mendakwa aliran trafik KTM Butterworth amat teruk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil maklum akan aduan yang diterima daripada pengguna berhubung masalah aliran trafik yang disifatkan amat teruk di KTM Butterworth, dekat sini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KTMB berkata, aduan tersebut telah diajukan kepada pemilik kawasan letak kereta di stesen KTM Butterworth iaitu Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk tindakan lanjut.

Selain itu katanya, KTMB juga telah mengarahkan kakitangan polis bantuan untuk membuat kawalan aliran trafik serta pengawasan kenderaan di kawasan stesen bagi kelancaran trafik terutama pada waktu puncak.

“Bagi mengelakkan kejadian sama berlaku, para penumpang dinasihatkan untuk menggunakan tempat letak kereta yang telah disediakan oleh pihak MRCB di Penang Sentral.

“Hal ini memandangkan laluan untuk masuk ke Stesen KTM Butterworth ketika ini adalah sehala,” kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, seorang pengguna perkhidmatan pengangkutan itu menerusi ruangan forum akhbar Utusan Malaysia semalam mendakwa ramai pengguna tren dan komuter merungut kerana aliran trafik di stesen berkenaan agak teruk.

Dakwanya, KTMB juga tidak membuat sebarang pemantauan terhadap pengguna yang meletakkan kenderaan mereka di bahu-bahu jalan sehingga berlaku kesesakan.

Dalam pada itu, KTMB yang berterima kasih atas keprihatinan pengadu tersebut kerana membuat aduan berkata, mereka akan terus komited bagi meningkatkan mutu perkhidmatan seiring usaha kerajaan ke arah mengutamakan keselesaan serta menggalakkan rakyat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau berhubung dengan Ketua Komunikasi Korporat KTMB, Noor Haniza Noordin di talian 03-2263 1142,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya