Ahmad Samsuri sedih kanak-kanak dikhuatiri lemas - Utusan Malaysia

Ahmad Samsuri sedih kanak-kanak dikhuatiri lemas

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Kehilangan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Kampung Kebor Besar, Manir di sini semalam mendapat simpati Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri berkata, beliau terkejut dan berasa sedih dengan berita yang menimpa kanak-kanak malang itu.

“Sehingga kini usaha mencari kanak-kanak itu, Muhammad Sufi Eijas Mohd. Sobrey masih diteruskan. Bersama-sama kita doakan agar mangsa segera ditemukan.

“Didoakan juga agar keluarga beliau kuat dan redha dengan ujian yang dilalui saat ini,” katanya dalam status yang dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.

Semalam, dua kes kehilangan orang awam dilaporkan berlaku di Terengganu dalam dua kejadian berasingan iaitu di Manir, Kuala Terengganu dan Kampung Fikri di daerah Setiu.

Kejadian pertama melibatkan kanak-kanak, Muhammad Sufi Eijas yang dipercayai terjatuh ke dalam tali air ketika sedang berada di sekitar kawasan tersebut bersama ayahnya, Mohd. Sobrey Ramli, 32, serta dua lagi adik-beradik mangsa.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang semalam, Muhammad Sufi Eijas dan dua beradiknya di bawa ke kawasan itu oleh bapanya untuk bersiar-siar sebelum menghantar abangnya ke kelas mengaji.

Menurut Mohd. Sobrey, anak sulungnya, Muhammad Shakir Wafiudin, 8, tiba-tiba memberitahu adiknya telah terjatuh dan tenggelam ke dalam tali air sebelum dia nekad terjun mencari mangsa namun gagal disebabkan arus yang terlalu deras.

Kejadian kedua pula melibatkan seorang bekas imam turut dilaporkan hilang ketika sedang menjala ikan di kawasan kolam udang di Kampung Fikri, Setiu petang semalam.

Mangsa, Zakaria Mat Nong, 72, dari Kampung Beris Tok Ku dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tali air kira-kira pukul 7 petang.

Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa di dua lokasi tersebut sedang giat dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya