KUALA PILAH: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mahu memperluaskan program pembangunan tanaman bawang ke negeri-negeri lain.
Ia selepas program yang dilaksanakan beberapa usahawan di Negeri Sembilan, Sabah dan Kelantan kini menunjukkan hasil memberangsangkan.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pihaknya sentiasa berusaha dalam melahirkan ramai usahawan benih bawang tempatan bagi memperkasa industri bawang untuk menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Katanya, langkah itu dilaksanakan menerusi pemindahan teknologi, khidmat bimbingan dan pemantauan berterusan kepada usahawan.
“MARDI berhasrat memperluaskan program ini ke negeri melahirkan lebih ramai usahawan bawang yang benar berpotensi,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke plot pengeluaran benih usahawan MARDI di Ulu Pilah, Seri Menanti, di sini semalam.
Menurutnya, projek pengeluaran benih bawang merah yang diusahakan usahawan bimbingan MARDI di Seri Menanti itu merupakan antara inisiatif penting bagi membangunkan pengeluaran benih bawang tempatan secara mampan.
“Usahawan ini merupakan antara usahawan pertama di Negeri Sembilan di bawah bimbingan MARDI bagi pengeluaran benih bawang,” katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha benih bawang tempatan, Muhammad Nasirullah Mohamad Nazlan berkata, penglibatan syarikatnya dalam tanaman bawang bermula pada tahun lalu selepas menerima tawaran kerjasama daripada MARDI.
Menurutnya, sebelum ini syarikatnya hanya menumpukan kepada tanaman cili, namun projek bawang yang diusahakan kini berjaya mencatat hasil tuaian memberangsangkan hasil sokongan dan bimbingan berterusan daripada agensi tersebut.
“Kami bermula tanpa pengalaman dalam tanaman bawang, namun MARDI banyak membantu dari segi pemantauan, data, teknologi dan pengurusan projek. Alhamdulillah, hasil tuaian pertama menunjukkan potensi yang sangat baik dan memberi keyakinan kepada kami untuk terus mengembangkan projek ini,” katanya.
Beliau berkata, kawasan tanaman yang diusahakan kini melibatkan kira-kira 4.05 hektar dengan 2.42 hektar telah dilengkapi sistem fertigasi moden di Ulu Pilah dan Tanjung Ipoh.
Katanya, dia turut menyasarkan pengeluaran sehingga 15 hingga 20 tan hasil bagi setiap pusingan apabila operasi mencapai kapasiti penuh pada masa hadapan.-UTUSAN.










