Ahmad Samsuri Ketua Pembangkang baharu

Ahmad Samsuri Ketua Pembangkang baharu

AHMAD Samsuri Mokhtar ketika hadir pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

Keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Kali Ke-2 yang dipengerusikan beliau, semalam.

Pelantikan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas itu bagi mengisi kekosongan selepas Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin meletakkan jawatan.

Hamzah dilaporkan menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang pada 11 April lalu.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul masih belum menerima surat peletakan jawatan Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang, setakat semalam.

Menurut beliau, pihaknya juga belum menerima sebarang notis pemakluman berhubung Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat yang baharu.

“Setakat semalam, saya belum terima. Hari ini (semalam) saya tidak pergi pejabat kerana hari Sabtu tiada siapa bekerja. Jadi, saya tidak tahu kalau ada (notis pemakluman) dihantar hari ini.

“Surat yang menyatakan Ahmad Samsuri dilantik sebagai Ketua Pembangkang pun tiada dan surat yang mengatakan Hamzah tarik diri (letak jawatan) juga belum diterima,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang baharu menggantikan Hamzah.

Tambah Johari, pengumuman secara terbuka oleh mana-mana pihak tidak boleh diambil kira selagi tiada pemakluman rasmi diserahkan kepadanya.

“Pengumuman terbuka itu cerita lain, itu yang berlaku di luar Dewan. Saya tidak boleh ambil kira selagi tiada hitam putih dibuat kepada saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN