Agong sumbang lima bot sebagai persediaan hadapi banjir

Agong sumbang lima bot sebagai persediaan hadapi banjir

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan bot jenis gentian kaca yang dilengkapi enjin dan jaket keselamatan kepada penduduk terjejas banjir. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan lima buah bot kepada lima penduduk yang sering terjejas banjir di daerah ini.

Bot jenis gentian kaca tersebut merupakan sumbangan peribadi Seri Paduka dan turut dilengkapi enjin beserta jaket keselamatan. 

Baginda menzahirkan agar kurniaan ini dapat digunakan sebaik-baiknya ketika musim tengkujuh nanti.

Al-Sultan Abdullah bertitah, sumbangan bot itu bukan sahaja digunakan oleh penerimanya malah untuk membantu penduduk lain yang terjejas banjir.

“Bot yang diberikan ini jangan pula dijual… pemberian saya ini nanti dapat juga membantu orang lain yang memerlukan dan tinggal berdekatan,” titah baginda pada Majlis Pengurniaan Bot dan Sumbangan Asnaf di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 150 orang asnaf turut menerima sumbangan peribadi baginda iaitu wang tunai dan barangan keperluan harian. 

Turut hadir mengiringi baginda, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Penerima sumbangan bot, Ahmad Ghairah Abdul Rahman, 54, berkata, kurniaan tersebut merupakan kejutan yang tidak disangka-sangka.

Katanya, dia bersyukur dengan kurniaan tersebut berikutan rumahnya yang terletak di Kampung Ganchong Hulu merupakan kawasan terjejas banjir setiap kali musim tengkujuh.

“Rumah saya memang tepi sungai, jadinya setiap kali banjir memang terputuh hubungan.

“Sebelum ini saya memang tidak memiliki bot dan dengan kurniaan ini dapatlah kami sekeluarga gunakan sebaiknya sekali gus bantu penduduk kampung yang terut terputus hubungan,” katanya yang bekerja sebagai penjual murtabak di sini.

Seorang lagi penerima, Mohamad Fahamy Mohamad Sarif, 49, pula berkata, dengan adanya bot tersebut keluarganya dapat menyelamatkan diri lebih awal jika berlaku banjir.

Dia yang bekerja sebagai tukang kebun berkata, kebiasaannya mereka sekeluarga menerima bantuan lewat memandangkan rumah yang jauh.

“Sebelum ini, kami selalu tumpang bot orang kampung yang lain atau menunggu pasukan keselamatan. 

“Setiap tahun kawasan Kampung Pelak, Mukim Lepar ini mengalami banjir dan terputus hubungan dan yang membezakan banjir setiap tahun adalah kecik atau besar sahaja.

“Jadi dengan kurniaan baginda ini, secara tidak langsung dapat ringankan sedikit masalah kami… maka dapatlah saya menghantar anak dan isteri terlebih dahulu ke pusat pemindahan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN