PETALING JAYA: Penyanyi, Yamani Abdillah menyeru penggiat industri seni supaya saling menyokong antara satu sama lain dan tidak bersikap dengki.
Yamani atau Osama Yamani Jamal Ubaidillah, 25, industri seni tempatan tidak besar dan kebanyakan penggiat seni akan bertemu dengan individu sama.
“Industri seni kecil, balik-balik akan jumpa muka yang sama. Jadi, sokonglah antara satu sama yang lain adalah perkara yang paling tepat dan bagus,” katanya menerusi satu hantaran komen di Threads.
Menurut penyanyi lagu Bunga Seroja itu, semua orang berhak menunjukkan kehebatan sendiri tetapi tiada siapa yang lebih hebat.
“Kalau masing-masing mahu rasa diri paling hebat, memang tidak akan ada siapa paling hebat,” katanya.
Menurut Yamani, kejayaan seseorang tidak sepatutnya menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan orang lain.
“Kalau ada rezeki untuk dia, maknanya ada juga rezeki untuk kita. Allah Maha Adil,” katanya.
Walaubagaimanapun, menurutnya, penggiat seni sepatutnya memilih untuk memberi sokongan sesama sendiri berbanding bersaing secara tidak sihat.
“Lebih baik, kita sokong antara satu sama lain. Tak perlu dengki atau iri hati,” jelasnya.
Terdahulu, Yamani meninggalkan komen tersebut pada satu hantaran Threads yang membincangkan mengenai kepentingan menyokong antara satu sama lain dalam industri seni di Malaysia yang disifatkan sangat kecil.










