‘Abah tak sempat tengok skrol ijazah saya’ - Utusan Malaysia

‘Abah tak sempat tengok skrol ijazah saya’

SITI Khadijah Ab. Rahman berdiri di sebelah Dzulkifli Abdul Razak membacakan surah al-Fatihah buat Allahyarham bapanya pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-38 di Gombak, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Impian setiap anak yang menamatkan pengajian di peringkat universiti sudah semestinya ingin berkongsikannya dengan ibu bapa pada hari konvokesyen sebagai tanda mereka berjaya dalam akademik.

Namun sebaliknya berlaku kepada graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Siti Khadijah Ab. Rahman apabila beberapa jam sebelum beliau menerima skrol, bapanya meninggal dunia di Madinah ketika menunaikan ibadah umrah akibat serangan jantung.

Siti Khadijah, 25, yang berasal dari Johor Bahru adalah graduan Sarjana Muda Undang-Undang (Syariah) dan anak ketujuh daripada lapan beradik.

Katanya, dia mendapat berita sedih itu daripada abangnya yang memaklumkan kesihatan bapa tidak berapa baik.

“Sewaktu bersiap ke majlis konvokesyen, sekitar 12.30 te­ngah hari, diberitakan abah sedang nazak. Selepas solat zuhur saya mendapat berita abah sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, bapanya, Allahyarham Ab. Rahman Muhamad mempunyai penyakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi serta pernah menjalani pembedahan pintasan jantung.

“Arwah abah ada sejarah sakit tulang belakang dan lutut. Sepanjang pengajian, beberapa kali abah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat komplikasi penya­kit itu,” tambahnya.

Siti Khadijah berkata, pada mulanya dia berat hati ke majlis konvokesyen, namun dengan membawa semangat bapa, dia menggagahkan diri untuk hadir.

“Kekuatan saya adalah abah sebab arwah nak sangat saya menyambung pengajian dalam undang-undang syariah,” jelas­nya.

Menurutnya, arwah bapa disolatkan di Masjid Nabawi dan dikebumikan di tanah perkuburan Syuhada Uhud di Madinah.

“Walaupun berasa sedih, saya bersyukur kerana dapat menunaikan hajat arwah abah untuk melihat saya genggam ijazah dalam bidang syariah,” katanya.

Sementara itu, majlis konvokesyen itu disemprnakan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan pada sesi berkenaan seluruh dewan turut membacakan al-Fatihah buat Allahyarham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN