PORT DICKSON: Seramai 21 individu yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah ditahan dalam Op Tapis Khas yang diadakan di kawasan Telok Kemang dan Lukut di sini awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, sebanyak 12 serbuan dilakukan dalam operasi oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bermula 6 hingga 8 Disember lalu.
“Dalam operasi ini, sebanyak 32 pemeriksaan dijalankan dengan penahanan 24 individu iaitu 23 lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 21 hingga 62 tahun.
“Sepanjang tiga hari operasi, pelbagai jenis dadah berbahaya berjaya dirampas termasuk heroin seberat 5.50 gram, syabu 1.10 gram dan ganja 1.80 gram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM407,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aidi Sham, kesemua tangkapan yang terlibat dengan pengedaran, memiliki dan penyalahgunaan dadah disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jelas beliau, tujuan operasi adalah membanteras kawasan yang menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah sehingga mewujudkan kegusaran dalam masyarakat.
“Di samping itu, ia bagi meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap masalah dadah yang perlu ditangani secara berterusan.
“Dalam merealisasikan hasrat membanteras dadah yang menjadi musuh utama negara, masyarakat perlu membantu menjadi mata dan telinga kepada pihak polis dalam menyalurkan maklumat,” katanya. – UTUSAN










