Malaysia saksi kelahiran era baharu Chelsea dibawah Alonso

Malaysia saksi kelahiran era baharu Chelsea dibawah Alonso

CHELSEA Ketika memenangi Piala Dunia Kelab 2025.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan bakal disajikan dengan satu detik bersejarah apabila Chelsea hadir ke Malaysia bagi aksi pramusim yang menyaksikan permulaan era baharu di bawah pengurus, Xabi Alonso.

Pada 9 Ogos depan, gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan berdepan juara Liga Super 12 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam perlawanan yang dijangka menjadi antara acara bola sepak terbesar pernah dianjurkan di negara ini.

Lebih istimewa, aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu bakal menjadi antara penampilan pertama Chelsea di bawah kendalian Alonso selepas bekas pemain tengah Sepanyol tersebut mengambil alih tugas sebagai pengurus menjelang musim 2026/27.

Pertemuan dua juara itu bukan sekadar aksi persahabatan biasa, sebaliknya memberi peluang kepada ribuan penyokong untuk melihat sendiri pendekatan, falsafah permainan dan wajah baharu Chelsea ketika mereka memulakan persiapan menghadapi musim baharu.

Malaysia sememangnya memiliki kelompok penyokong Chelsea yang besar dan setia sejak sekian lama.

Kehadiran The Blues ke Johor memberikan peluang yang jarang diperoleh apabila peminat dapat menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi secara langsung tanpa perlu terbang ke Eropah.

Pengarah Operasi Bola Sepak Chelsea FC, Pete Nuttall berkata, kunjungan ke Malaysia pasti menjadi pengalaman yang cukup bermakna buat kelab dan para penyokong.

“Kami mempunyai kelompok penyokong yang luar biasa di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara, jadi ini pasti akan menjadi perlawanan yang sangat bermakna buat semua yang berkaitan dengan Chelsea FC.

“Kami teruja untuk beraksi di stadium ikonik ini dan mencipta kenangan baharu bersama penyokong kami. Ia pasti menjadi satu pengalaman istimewa untuk semua,” katanya.

Bagi JDT pula, perlawanan tersebut menjadi satu lagi pengiktirafan terhadap status Harimau Selatan sebagai kuasa dominan bola sepak Malaysia selepas mencipta pelbagai kejayaan domestik serta mengharumkan nama negara di pentas Asia.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, JDT bakal membawa cabaran dan maruah bola sepak Malaysia ketika menentang salah sebuah kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Eropah.

Perlawanan itu juga dijangka menarik kehadiran ribuan penyokong dari seluruh Asia Tenggara yang mahu menyaksikan sendiri sentuhan Alonso bersama Chelsea, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara bola sepak bertaraf antarabangsa.

Dengan permintaan tiket yang dijangka tinggi, para penyokong dinasihatkan mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah yang bakal menghimpunkan dua juara di Stadium Sultan Ibrahim.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN