JERANTUT: Kerajaan negeri sudah menyerahkan suratan hak milik kepada kira-kira 42,000 orang atau 95.5 peratus peneroka di Pahang dan bakinya dijangka dapat diselesaikan tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha berterusan itu menzahirkan komitmen kerajaan negeri bagi memastikan hak peneroka dan generasi kedua serta ketiga Felda terus terbela melalui pemilikan tanah yang sah.
“Kita menyegerakan proses serahan suratan hak milik ini supaya mereka mempunyai taraf pemilikan yang sah serta lebih bersemangat merancakkan sektor ekonomi berasaskan sawit dan tanaman komersial lain.
“Selain itu, generasi kedua dan ketiga di tanah rancangan dapat membina rumah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Skim Tanah Rakyat Generasi Baharu Felda (STRGBF) Kota Gelanggi Satu, Dua dan Empat Mukim Pulau Tawar di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini, hari ini.
Sementara itu, Wan Rosdy meminta rakyat tidak cepat melatah menyalahkan kerajaan negeri sekiranya terdapat permohonan yang tidak dapat dipenuhi kerana setiap keputusan dibuat selepas mengambil kira kepentingan awam khususnya keperluan pembangunan negeri.
“Kerajaan negeri sentiasa cakna setiap permohonan tanah daripada rakyat, namun terdapat keadaan tertentu yang menyebabkan tidak dapat diluluskan kerana kawasan berkenaan telah diperuntukkan bagi pembangunan kemudahan awam.
“Antara pembangunan yang perlu diberi keutamaan adalah pembinaan sekolah, hospital, klinik kesihatan dan kem tentera yang memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN










