JERANTUT: Tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi keluar parti itu adalah hak individu dan hasrat beliau sendiri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan Mohd. Puad tidak menjejaskan perjalanan parti itu pada masa akan datang khususnya saat berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
“UMNO menghormati keputusan mana-mana ahli yang memilih haluan berbeza namun parti (UMNO) tetap move on memperkukuh perjuangan dan memberi tumpuan kepada agenda memperjuang kepentingan rakyat.
“Beliau nak keluar, kita tidak boleh menghalang kerana itu hak beliau. Tetapi UMNO terus move on,” katanya selepas Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Skim Tanah Rakyat Generasi Baharu Felda (STRGBF) Kota Gelanggi Satu, Dua dan Empat Mukim Pulau Tawar di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini, hari ini.
Mohd. Puad dilapor mengumumkan meletak jawatan dan keluar daripada UMNO dengan mendakwa parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan, termasuk mendakwa UMNO Johor dipengaruhi pihak lain dalam beberapa keputusan politik. – UTUSAN










