Zahid tak patut wakili UMNO berunding dengan parti lain - Onn Hafiz - Utusan Malaysia

Zahid tak patut wakili UMNO berunding dengan parti lain – Onn Hafiz

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi punca kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya mewakili parti untuk berunding dengan mana-mana pihak.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Pengerusi BN itu tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Majlis Tertinggi BN.

Justeru, sebarang keputusan yang dibuat oleh Presiden parti tanpa melalui proses itu adalah dikira tidak sah dari segi perlembagaan parti.

“Sementara ahli UMNO menunggu tindakan berjiwa besar Presiden untuk meletak jawatan dengan kadar yang segera, beliau sebaliknya, kalau betul sebagaimana yang dilaporkan media, sedang sibuk berunding dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

“Beliau yang telah mengetuai kita semua ke medan perang dan disebabkan imejnya antara punca kekalahan teruk BN, tidak sepatutnya mewakili parti untuk berunding dengan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid menafikan berbincang dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menubuhkan kerajaan campuran bersama Perikatan Nasional (PN).

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, tiada apa-apa rundingan yang dibuat antara gabungan itu dengan PN pada masa ini.

Beliau berkata, segala keputusan berkaitan dengan perkara demikian hanya akan diputuskan olehnya yang merupakan pengerusi gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengingatkan Ahmad Zahid untuk menghormati pendirian parti yang dilaungkan sebelum ini.

“Keputusan terakhir UMNO adalah tidak akan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP. Marilah kita terus bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalahan. Insya-Allah ada hikmahnya. Sekali lagi saya memohon dan merayu agar Presiden UMNO meletak jawatan secara terhormat pada kadar yang segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya