PETALING JAYA: Tiada mana-mana gabungan politik yang meraih majoriti mudah menyaksikan Parlimen tergantung dipercayai antara lain berpunca daripada pengaruh undi anak muda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi-18, Tharma Pillai berkata, keputusan pilihan raya umum kali ini menyaksikan pengaruh pengundi muda sangat memberi kesan terutama dalam penubuhan kerajaan.
Beliau berkata, ini kerana sentimen anak muda tidak keluar mengundi dan tidak berminat ternyata salah, tetapi mereka sangat bersemangat dalam memilih pemimpin.
Bagaimanapun, katanya, pengaruh anak muda bukanlah punca utama Parlimen kali ini tergantung, tetapi disebabkan perubahan evolusi dalam sistem demokrasi yang menyaksikan tiada gabungan cukup kuat membentuk kerajaan.
“Berdasarkan apa kita dengar, majoriti ramai anak muda lebih berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) dan ini satu tindakan sangat baik (apabila) majoriti anak muda (memilih) parti yang memperjuang antirasuah.
“Ini kerana dua-dua pakatan itu dalam kempen sebelum ini beritahu mereka bersih, (ini) menunjukkan anak muda lebih tertarik kepada parti yang bersih dan lantang menentang rasuah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.
RUU itu diluluskan dengan majoriti lebih dua per tiga sekali gus mencipta sejarah baharu buat Malaysia.
Keputusan rasmi PRU15, Sabtu lalu menyaksikan tiada gabungan atau parti politik yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
PH menang 82 kerusi, PN 73, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan Parti Sarawak (22) dan Gabungan Rakyat Sabah (enam).
Selain itu, Parti Warisan Sabah (tiga), Parti Kesejateraan Demokratik Malaysia (KDM) (satu), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan Bebas (dua). – UTUSAN










