UMNO Langkawi tolak calon payung terjun

UMNO Langkawi tolak calon payung terjun

NORDIN Ali (depan, tiga dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Langkawi serta Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan ahli UMNO pada sidang akhbar di Wisma UMNO Langkawi, Langkawi. - FOTO/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: UMNO Bahagian Langkawi menolak calon ‘payung terjun’ yang dikatakan akan disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha UMNO Bahagian Langkawi, Nordin Ali berkata, mereka kesal kerana usaha melobi sebagai calon tidak melalui saluran yang betul selain faktor bukan anak tempatan di daerah itu.

Katanya, akar umbi mahu keputusan Mesyuarat UMNO Bahagian pada 21 Julai 2021 dan 15 Oktober lalu yang secara sebulat suara menolak calon ‘payung terjun’ dihormati semua pihak.

“Pada 21 Julai tahun lalu, kesemua Perwakilan UMNO bahagian menolak sebarang usaha mensabotaj semangat kerjasama dan solidariti dalam kalangan ahli dan akar umbi. Sebarang usaha bersifat memecah belahkan parti dan bermotif keuntungan peribadi tidak layak diangkat menjadi calon BN.

“Usul ini dibahaskan kali kedua pada 15 Oktober lalu yang menolak calon orang luar yang cuba menangguk di air keruh yang kehadirannya setelah diselidiki membawa muslihat untuk merosakkan saf dan persediaan kita selepas kalah pada PRU14,” katanya pada sidang akhbar di Wisma UMNO Langkawi, di sini hari ini.

Sebelum ini, timbul spekulasi bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada tiga Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj akan disenaraikan sebagai antara muka baharu yang akan bertanding sebagai calon Parlimen di Kedah pada PRU15.

Tambah Nordin, UMNO Bahagian Langkawi juga telah memanjangkan usul berkenaan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah yang seterusnya dibawa untuk pertimbangan UMNO Pusat terutama Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

“Besar harapan kami agar Presiden dan Ahli MT UMNO dapat mendengar mesej jelas bahawa akar umbi UMNO Langkawi hanya mahukan calon anak tempatan Langkawi untuk memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.

Katanya, mereka juga menolak calon berkenaan kerana mahu memastikan keharmonian dan keutuhan UMNO serta BN Langkawi akan terus terpelihara kerana akar umbi berpendapat sebarang bentuk usaha melobi diri untuk dicalonkan tanpa melalui saluran betul amat dikesalkan.

“Tindakan ini memberi gambaran bahawa cubaan beliau lebih kepada misi peribadi dan bersifat mengejar keuntungan dalam politik dan bukannya agenda membantu dan memajukan masyarakat dan kawasan Langkawi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.