Tukang tilik warga India mangsa culik diselamaatkan - Utusan Malaysia

Tukang tilik warga India mangsa culik diselamaatkan

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN dalam sidang akhbar mengenai kejayaan polis menyelamatkan seorang mangsa culik warga India di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang tukang tilik warganegara India yang dilaporkan diculik di Bukit Mertajam, dekat sini Selasa lalu berjaya diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kulim, Kedah semalam.

Susulan itu, polis menahan 20 suspek termasuk empat sekeluarga iaitu pasangan suami isteri, adik perempuan dan anak lelaki mereka dalam beberapa serbuan di Bukit Mertajam dan Kulim, Kedah kerana disyaki terlibat dengan penculikan mangsa berusia 24 tahun itu.

Seramai 11 daripada 20 suspek yang ditahan polis merupakan lelaki warganegara India yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan siasatan mendapati kesemua mereka bekerja di restoran, peniaga dan sebagainya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan yang memaklumkan anak kepada rakannya diculik di Bukit Mertajam, pada Selasa lalu.

Katanya, suspek telah menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang berjumlah RM700,000 sekiranya tidak mahu mangsa dibunuh.

“Susulan laporan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang dan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menjalankan operasi dan mangsa culik tersebut ditemui di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kulim.

”Mangsa diselamatkan dalam keadaan masih dirantai di bahagian kaki serta mengalami luka-luka ringan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, keluarga mangsa yang tinggal di luar negara juga telah membayar sejumlah wang tebusan kepada suspek namun beliau tidak mendedahkan jumlah tersebut.

”Kejadian ini tidak melibatkan sindiket penculikan tetapi dipercayai melibatkan isu penipuan kerana mangsa mengenali suspek.

”Dengan penahanan kesemua suspek ini polis berjaya menyelesaikan kes penculikan membabitkan tukang tilik ini,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek direman selama empat hari bermula 10 hingga 13 November ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

”Daripada beberapa siri serbuan yang dijalankan polis membuat rampasan antaranya 17 buah telefon bimbit pelbagai jenama; lima buku bank; cota; dua batang besi dan segulung tali berwarna oren.

“Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi; kereta jenis Toyata Vios; wang tunai berjumlah RM2,085 dan wang tunai berjumlah 460 Bath dan rantai besi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya