PETALING JAYA: Kekalahan beberapa pemimpin berpengaruh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuktikan kehadiran mereka di Dewan Rakyat sudah kurang relevan, sekali gus memerlukan pembaharuan dalam arena politik negara.
Ia juga menjadi isyarat bahawa golongan muda di negara ini mahu golongan seusia mereka tampil menjadi sebahagian daripada barisan pemimpin yang menerajui negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, kekalahan tokoh-tokoh politik didorong kesan daripada pengundi-pengundi muda bermula di usia 18 tahun ke atas.
Justeru, katanya, ahli-ahli politik berpengaruh dan tewas pilihan raya perlu merangka strategi ‘memujuk’ semula golongan itu untuk kembali kepada mereka pada pilihan raya seterusnya.
“Pengundi-pengundi muda ini, mungkin sahaja mereka kurang atau tidak mengenali seseorang calon yang bertanding lebih-lebih lagi ahli politik yang sudah terlalu lama berpolitik. Walaupun mempunyai nama yang besar, tetapi mungkin dikenali atau tiada rasa terhutang budi dengan seseorang pemimpin.
“Kesan daripada ini tidak terhenti setakat PRU15 sahaja tetapi berterusan pada PRU16. Bayangkan, pengundi muda yang kini berusia 18 tahun, pilihan raya seterusnya berumur 24 tahun.
“Kemudian ada generasi baharu lagi yang muncul dan senarionya berulang. Justeru, ada kemungkinan mereka tidak mengenali calon-calon yang sudah lama dalam politik,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim mencipta kejutan memenangi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka, manakala Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahan Parlimen disandangnya di Muar, Johor.
PRU15 yang berakhir 19 November lalu menyaksikan beberapa pemimpin berpengaruh tersungkur di kawasan masing-masing, antaranya bekas Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Pejuang); Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang); Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-Putrajaya); Datuk Zuraida Kamaruddin (PBM-Ampang) dan Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim-Bandar Baharu).
Terdapat pemimpin yang lebih muda namun gagal mempertahan kawasan Parlimen disandang iaitu Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang) dan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau). – UTUSAN










