Tiada kekecohan di Lenggong, polis buka kertas siasatan 

Tiada kekecohan di Lenggong, polis buka kertas siasatan 

YUSRI Hassan Basri dalam sidang akhbar berkaitan pasca PRU15  di IPK Perak di Ipoh hari ini. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat menyebarkan berita palsu kononnya berlaku kekecohan dan perhimpunan di Pejabat UMNO Lenggong.

Dakwaan tular menerusi aplikasi TikTok itu dipercayai disebarkan selepas Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak, kelmarin.

Khabar angin itu juga menyebut ahli akar umbi UMNO menolak kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, berita tular itu tidak benar dan sengaja disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Malah katanya, gambar menunjukkan kehadiran anggota polis pasukan unit tempur ringan (LSF) di Lenggong bagi meredakan ‘situasi panas’ juga adalah palsu, sebaliknya ia diambil semasa penugasan di pusat penjumlahan undi pada Sabtu lalu.

“Pengguna-pengguna (TikTok) ini amat kreatif, mereka pandai dan gabungkan gambar-gambar ini menjadi satu cerita bahawa berlaku situasi tidak aman di Lenggong.

“Turut tersebar beberapa rakaman suara mengatakan keadaan tidak aman di mana ramai orang berkumpul dan mengajak berhimpun di bangunan UMNO Lenggong dan rumah Menteri Besar. 

“Saya telah pun menggerakkan seluruh jentera untuk memberi penumpuan di kawasan yang dikenal pasti dan kita dapati perkara itu tidak berlaku sama sekali,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, sebagai langkah berjaga-jaga sekali gus memastikan keadaan di Perak kekal aman dalam tempoh pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebanyak 15 sekatan jalan raya (SJR) telah didirikan sejak semalam.

Katanya, semua elemen termasuk kereta peronda polis (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB), pasukan jenayah dan cantas digerakkan bagi melakukan rondaan berkala.

“Kita baru melepasi pasca PRU15 dan kerajaan negeri juga baru ditubuhkan, jadi saya mahu memastikan keadaan di Perak ini aman damai dan keselamatan awam terjaga.

“Oleh itu, kita telah adakan SJR untuk memastikan berita tular yang tidak betul ini tidak disebarkan dengan meluas dan ada pihak mengambil kesempatan untuk berkumpul dan bergerak secara berkumpulan. Kita akan pastikan perkara ini tidak berlaku,” katanya.

Tambahnya, SJR di lokasi tumpuan itu akan diteruskan sehingga keadaan benar-benar aman tanpa sebarang risiko keselamatan kepada orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya