KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) meraih kemenangan tipis apabila berjaya menewaskan Imigresen II FC 1-0 dalam aksi penuh kontoversi dalam saingan Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Pada perlawanan itu, jaringan kemenangan KRW FC hadir pada minit ke-30 apabila rembatan dari luar kotak penalti Emmanuel Mbarga terus gagal ditepis keluar oleh penjaga gawang Imigresen II FC Mohd. Izarul Adli Mohd. Nasir.
Kerancakan perlawanan sedikit tercemar dengan insiden yang berlaku pada minit-minit akhir babak pertama apabila berlaku pertengkaran mulut antara pemain dan di kawasan teknikal susulan kekasaran yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pemain KRW FC.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan Khairul Anwar Abllah @ Abdullah berjaya mengawal keadaan sekali gus mengelakan insiden lebih buruk.
Kerancakan aksi babak kedua sedikit terganggu apabila perlawanan terpaksa ditangguhkan lebih satu jam bermula minit ke-51 susulan ribut petir yang melanda kawasan Stadium Sultan Muhammad IV.
Sebaik perlawanan bersambung, Imigresen II FC memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun sepakan Mohammad Alif Romli pada minit ke-74 sekadar melepasi palang gol KRW FC.
Aksi panas kembali mewarnai perlawanan itu, namun Khairul Anwar bijak mengawal keadaan sehingga tamat perlawanan.
Bagaimanpun, suasana panas kembali bersambung selepas itu, apabila pemain Imigresen II FC menunjukkan reaksi tidak berpuas hati kepada pengadil, menyaksikan barisan pegawai perlawanan terpaksa diiring keluar oleh anggota polis.
Keputusan itu menyaksikan KRW FC kembali merampas kedudukan ditangga keempat liga dengan mengumpul 53 mata, daripada Perak FA yang kini mengumpul 52 mata.-UTUSAN










