Perkukuh agroteknologi bantu daya tahan ekonomi negara

Perkukuh agroteknologi bantu daya tahan ekonomi negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA perlu mempercepat pembangunan sektor agroteknologi dan teknologi iklim bagi memastikan negara kekal berdaya tahan dalam mendepani cabaran ekonomi, perubahan iklim dan ketidaktentuan rantaian bekalan makanan serantau.

Dalam suasana ekonomi global yang semakin mencabar, negara tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada sektor tradisional semata-mata, sebaliknya perlu bergerak ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi yang menggabungkan teknologi dan keselamatan makanan.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk membangunkan sektor agroteknologi, namun cabaran utama ketika ini ialah menarik minat generasi muda untuk terlibat dalam industri tersebut.

Menurut beliau, pembangunan teknologi pertanian perlu dijadikan antara agenda utama negara kerana isu keselamatan makanan dan perubahan iklim akan menjadi cabaran ekonomi paling kritikal pada masa depan.

“Malaysia perlu bergerak ke arah gabungan teknologi dan pertanian kerana masa depan ekonomi bukan lagi hanya tertumpu kepada sektor tradisional.

“Kita sudah ada dasar ber­kaitan teknologi hijau dan semikonduktor, tetapi dalam masa sama kita juga perlu memperkukuh teknologi pertanian dan teknologi iklim,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas forum ekonomi ASEAN baru-baru ini. 

Tambah beliau, antara cabaran terbesar ketika ini ialah kekurangan bakat muda dalam sektor pertanian moden walaupun bidang tersebut mempunyai potensi ekonomi yang besar.

“Kita sebenarnya mempu­nyai peluang besar dalam agroteknologi, tetapi masalah utama ialah kita gagal menarik lebih ramai anak muda masuk ke dalam sektor ini.

“Ramai masih melihat pertanian sebagai sektor tradisional sedangkan negara maju sudah bergerak kepada pertanian berteknologi tinggi,” tambahnya. 

Menurut Mohd. Sedek, Malaysia juga perlu memperkukuh pemindahan teknologi dengan negara luar bagi mempercepat pembangunan sektor tersebut.

Katanya, usaha itu penting supaya negara tidak terus bergantung kepada import makanan dan teknologi asing dalam jangka panjang.

“Pemindahan teknologi perlu diperkasakan supaya Ma­laysia dapat membangunkan kepakaran sendiri dalam bidang pertanian mo­den dan teknologi berkaitan iklim.

“Perubahan iklim yang semakin ekstrem juga akan memberi kesan besar kepada sektor makanan dan ekonomi negara jika kita tidak bersedia dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata, suhu global yang semakin meningkat akan memberi tekanan kepada sektor pertanian, produktiviti dan kos makanan sekali gus memberi kesan langsung kepada kadar inflasi negara.

“Kita sudah mula melihat perubahan cuaca yang ekstrem dan kemungkinan suhu mencecah sehingga 40 darjah celsius pada masa depan.

“Kalau isu keselamatan makanan tidak ditangani lebih awal, tekanan kepada kos sara hidup rakyat akan menjadi lebih besar,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, ASEAN sebenarnya mempunyai kekuatan besar dalam sektor makanan dan tenaga kerja yang boleh dimanfaatkan secara bersama oleh negara anggota.

Katanya, perdagangan intra-ASEAN mampu membantu negara ang­gota menstabilkan bekalan makanan dan kadar inflasi serantau.

“ASEAN mempunyai kekuatan dari segi rantaian bekalan makanan, logistik dan tenaga kerja.

“Banyak keperluan makanan negara anggota juga saling melengkapi antara satu sama lain dan ini boleh membantu menstabilkan ekonomi serta inflasi rantau ini,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia perlu menggunakan peluang tersebut untuk memperkukuh sektor makanan tempatan sambil mempercepat pembangunan industri berteknologi tinggi.

“Negara tidak boleh terlalu bergantung kepada satu sektor sahaja. Kita perlu ada keseimbangan antara teknologi, keselamatan makanan dan pembangunan ekonomi mampan.

“Jika sektor agroteknologi diperkukuh dari sekarang, Malaysia bukan sahaja mampu meningkatkan daya tahan eko­nomi domestik, malah boleh menjadi pemain penting dalam ekosistem makanan ASEAN pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN