OSK Ombak projek percutian pesisir pantai di Kuantan

OSK Ombak projek percutian pesisir pantai di Kuantan

HARGA indikatif pembangunan ini bermula sekitar RM380,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OSK Property memperkenalkan OSK Ombak, pembangunan pegangan bebas berhadapan pantai di pesisir Pantai Balok, Kuantan, Pahang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM690 juta. 

Projek yang disasarkan siap pada 2030 itu dibangunkan di atas kawasan seluas 2.42 hektar dan merangkumi tiga blok pangsapuri perkhidmatan serta unit runcit terpilih. 

Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Chu Wai Lune berkata, OSK Ombak mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menghasilkan pembangunan yang melangkaui fungsi kediaman semata-mata. 

“Dengan lokasi tepi pantai, persekitaran berinspirasikan resort serta asas yang kukuh, projek ini direka untuk memberikan kepuasan gaya hidup dan penciptaan nilai jangka panjang. 

“OSK Ombak juga disasarkan sebagai peluang menarik susulan pertumbuhan sektor pelancongan Kuantan serta peningkatan permintaan terhadap penginapan fleksibel. 

“Kedudukan berhadapan pantai turut menyokong permintaan sewaan jangka pendek, khususnya daripada pelancong domestik dan serantau,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut beliau, projek itu menyasarkan pembeli rumah percutian dari bandar yang mencari kediaman tepi pantai dengan kemudahan berkonsepkan resort, sekali gus sesuai sebagai kediaman, percutian dan pelaburan. 

Katanya, OSK Ombak menawarkan 1,274 unit kediaman lengkap berperabot daripada studio hingga tiga bilik tidur, termasuk konfigurasi dwi-kunci bagi memenuhi keperluan pemilik dan pelabur yang mencari fleksibiliti penggunaan serta potensi pendapatan. 

“Terletak strategik dengan akses terus ke Pantai Balok, OSK Ombak tampil sebagai pembangunan tepi laut pegangan bebas yang jarang ditawarkan, dengan pemandangan laut tidak terhalang serta konsep resort pesisir Mediterranean yang tersendiri. 

“Penduduk akan menikmati lebih tiga ekar kemudahan berkonsep kurasi termasuk kolam bertingkat, zon kesihatan, ruang riadah di podium fasiliti serta kawasan komuniti yang direka bagi meningkatkan pengalaman hidup seperti di resort,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau berkata nilai projek tersebut turut disokong pembangunan pesat industri di Kuantan. 

“Ia khususnya di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) serta koridor industri Gebeng yang terus menarik pelaburan multinasional dan kehadiran tenaga kerja profesional serta ekspatriat. 

“Selain itu, pembangunan se­perti perluasan Pelabuhan Kuantan dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi pada 2027 turut meningkatkan kesalinghubungan wilayah. 

“Ia sekali gus merangsang aktiviti pelancongan dan perniagaan serta permintaan terhadap kediaman servis,” katanya. 

Beliau berkata, OSK Ombak juga merupakan fasa ketiga dalam koridor pembangunan pesisir pantai yang telah terbukti berjaya selepas Swiss Garden Resort Residences dan TimurBay Seafront Residences yang mencatat sambutan menggalakkan. 

“Dari aspek kelestarian, pembangunan ini disasarkan mencapai pensijilan GreenRE Silver dengan ciri kecekapan tenaga, penjimatan air dan penggunaan bahan mesra alam. 

“Dengan harga indikatif bermula sekitar RM380,000, OSK Ombak menawarkan akses mampu milik ke pemilikan hartanah tepi pantai yang menggabungkan gaya hidup, potensi pendapatan dan pertumbuhan modal. 

“Lebih daripada sekadar kediaman, OSK Ombak direka sebagai ruang kehidupan yang mengalir selari dengan ritma laut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN