JIKA sebelum ini isu banjir menjadi perhatian penduduk di negeri Pantai Timur khususnya ketika musim monsun, kini masyarakat bandar turut peka dengan situasi itu selepas beberapa episod banjir kilat berlaku di tengah ibu kota, Kuala Lumpur.
Cuaca di Kuala Lumpur yang sukar diramal turut menyumbang kepada masalah banjir namun penduduk kawasan itu tampil menuntut penyelesaian berbanding janji manis bantuan yang ditawarkan selepas banjir berlaku.
Bukan itu sahaja, penduduk di kawasan itu dilihat lebih matang dalam menyuarakan pandangan dan memahami kehendak masing-masing dalam memastikan kemaslahatan kehidupan berbanding terperangkap dengan jerat ‘gula-gula’ berbentuk wang ringgit.
Tinjauan Utusan Malaysia di Lembah Pantai mendapati, penduduk di kawasan Kampung Pasir Baru yang dilanda banjir tahun lalu mahu wakil rakyatnya agresif menyelesaikan isu itu.
Mereka mahu wakil rakyat yang boleh menyelesaikan isu banjir di kawasan itu kerana pengalaman lalu meninggalkan kesan besar kepada kehidupan penduduk.
Berdasarkan situasi ini, calon-calon ahli Parlimen Lembah Pantai perlu membawa idea dan menzahirkan kebolehan masing-masing untuk menjadi pilihan itu pada PRU15, 19 November ini.
Pada pilihan raya kali ini, Parlimen Lembah Pantai digempur empat calon iaitu Noor Asmah Mohd Razalli mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Fauzi Abu Bakar (Perikatan Nasional), Fahmi Fadzil (Pakatan Harapan) dan Datuk Ramlan Askolani (Barisan Nasional).
Parlimen Lembah Pantai terdiri daripada 18 daerah dan mempunyai seramai 101, 804 pengundi yang layak mengundi untuk PRU15.
Pada PRU14, seramai 80,346 pengundi di Lembah Pantai mengambil bahagian dan kerusi itu dimenangi Fahmi dengan majoriti sebanyak 5,598 undi. – UTUSAN










