Selesai isu lokaliti Bangi dalam lima tahun

Selesai isu lokaliti Bangi dalam lima tahun

SYAHREDZAN Johan (dua dari kiri) mengedar risalah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat di Pangsapuri Prima Cempaka, Taman Kajang Prima, Selangor. - UTUSAN/PETAH WAZZAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mahu memastikan isu lokaliti di kawasan berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Syahredzan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Cardiff University, United Kingdom berkata, perkara itu adalah sebahagian daripada perancangannya dalam Parlimen Bangi.

Katanya, dia mahu mencipta satu ekosistem yang memberi sokongan dalam semua aspek kehidupan penduduk tanpa mengenal latar belakang.

“Saya memberi penekanan kepada tiga teras yang diperjuang berlandaskan kehidupan sejahtera iaitu penyelesaian isu lokal yang memberi keselesaan, masyarakat terjaga dengan pelbagai bantuan dan kemudahan serta peluang bersama melibatkan pertumbuhan ekonomi,” katanya di sini semalam.

SYAHREDZAN JOHAN

Pada PRU15, Syahredzan bakal ditentang tujuh lagi calon termasuk calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan tiga calon Bebas.

Ketika PRU14, Parlimen Bangi dimenangi calon PKR, Dr. Ong Kian Ming yang memperoleh majoriti 68,768 undi menewaskan calon BN, Pas dan PRM.

Syahredzan berkata, selain itu, Parlimen Bangi mempunyai ramai usahawan kecil dan dalam talian, maka amat bersesuaian diwujudkan hab usahawan yang memberi pelbagai peluang yang boleh memacu sektor ekonomi mereka.

Ditanya mengenai latar belakangnya sebagai anak kepada Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, beliau menegaskan tidak mahu menjadikan populariti bapanya sebagai batu loncatan dalam dunia politik.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, sikap keterbukaan bapa dan ibu terhadap anak-anak menjadikan satu landasan untuk masing-masing melebarkan sayap dalam pelbagai bidang.

“Penyertaan dalam dunia politik termasuk bersama DAP dan Pakatan Harapan (PH) tiada kaitan dengan ayah, malah beliau tidak pernah menyuruh kami ikut sesiapa atau mana-mana parti.

“Ayah menggalakkan kami berfikiran terbuka dan bijak membuat keputusan sendiri. Namun apa yang membanggakan, ayah dan emak sentiasa menyokong kami dalam apa jua keputusan dibuat termasuk menemani saya pada hari pencalonan tempoh hari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×