Sediakan ganti rugi kepada pengguna LRT terjejas - Zuraida

Sediakan ganti rugi kepada pengguna LRT terjejas – Zuraida

SUASANA penumpang sedang menunggu bas di stesen bas pengantara untuk ke pusat bandar Kuala Lumpur berikutan sistem LRT Laluan Kelana Jaya dihentikan sementara bermula 9 hingga 15 November 2022.  - FOTO/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggesa syarikat pengendali Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya menyediakan ganti rugi dalam bentuk perkhidmatan percuma kepada semua pengguna yang terjejas.

Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ganti rugi itu perlu diberikan bagi tempoh sekurang-kurangnya selama sebulan selepas perkhidmatan LRT laluan terlibat dipulihkan sepenuhnya dan kembali beroperasi.

Katanya, gangguan sistem bagi laluan LRT Kelana Jaya telah memberi kesan buruk kepada penduduk di Ampang, yang kebanyakannya bergantung kepada pengangkutan awam itu untuk berulang alik ke tempat kerja setiap hari.

“Perkhidmatan percuma berkenaan harus terpakai untuk semua jenis pengangkutan awam yang disediakan oleh RapidKL, termasuk LRT Laluan Ampang dan perkhidmatan bas dalam bandar.

“Bentuk ganti rugi sedemikian adalah tindakan paling minimum boleh diambil RapidKL memandangkan ramai penumpang terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk urusan seharian berikutan insiden gangguan perkhidmatan LRT yang dialami.

“Dengan adanya perkhidmatan percuma itu, ia sedikit sebanyak boleh membantu warga kota yang terjejas menampung perbelanjaan luar jangka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Zuraida, warga kota ketika ini terpaksa beralih menggunakan mod pengangkutan alternatif seperti e-hailing dan teksi yang memerlukan perbelanjaan lebih tinggi, di samping kesulitan lain yang timbul susulan gangguan operasi LRT.

“Saya sendiri menerima banyak aduan daripada penduduk kawasan Ampang mengenai perkara ini dan merasakan adalah tidak adil untuk mereka menanggung perbelanjaan tambahan sebegitu, lebih-lebih lagi ramai yang baru bangkit semula untuk memulihkan ekonomi diri dan kehidupan keluarga selepas pandemik Covid19.

“Saya juga meminta kerajaan, yang mempunyai kepentingan dalam RapidKL melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab atas gangguan ini atau dalam erti kata lain ‘heads must roll’.

“GLC mesti mendahului dalam perihal akauntabiliti, terutama jika melibatkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan kritikal seperti pengangkutan awam,” katanya.

Dalam pada itu katanya, ketua-ketua GLC boleh mengambil teladan daripada tindakan Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletak jawatan serta-merta sebagai Pengerusi dan Pengarah Mass Rapid Transit (MRT) Corp berikutan kemalangan di tapak kerja landasan MRT di Kota Damansara yang meragut nyawa tiga pekerja pada 2014. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya