Safee Sali meriahkan Karnival Anak Muda Gegor

Safee Sali meriahkan Karnival Anak Muda Gegor

Safee Sali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Bekas penyerang terbaik Asia Tenggara dan legenda bola sepak tanah air, Safee Sali memeriahkan Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera di sini, hari ini.

Pemain berusia 38 tahun itu menyertai pasukan juara Kejohanan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY Musim Ke-10, Team Haq Esports Club dalam acara Santai eGames.

Safee yang juga duta kepada pasukan Team Haq Esports Club sejak Mac tahun lalu berkata, dia teruja dapat menyertai program yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya gembira diberi peluang turut serta dalam acara bersama kepemimpinan tertinggi negara dan Keluarga Malaysia lain di Bera.

“Selain dapat mendekatkan diri dengan peminat-peminat e-sukan, pada masa yang sama kita semua dapat menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia,” katanya di sini semalam.

Kedatangan penyerang KL City FC itu ke Bera juga bagi memberikan sokongan beliau kepada industri e-sukan yang semakin berkembang di Malaysia.

Safee sebelum ini menyatakan hasrat menubuhkan pasukan e-sukan miliknya sendiri jika mempunyai peluang memandangkan industri sukan itu ketika ini mencetuskan fenomena luar biasa.

Kata Safee, golongan belia khususnya cukup berminat dengan permainan video e-sukan dan ia adalah perkembangan positif terutama apabila industri ini menjanjikan pulangan lumayan.

Anak kelahiran Kajang, Selangor itu pernah bergelar penyerang terbaik Malaysia semasa generasinya dan turut dibandingkan dengan legenda Allahyarham Mokhtar Dahari.

Raja Bola Malaysia, Datuk Abdul Ghani Minhat juga menganggap Safee penyerang terbaik Malaysia selain bermain secara profesional di luar negara.

Safee turut mencipta rekod sebagai pemain Malaysia pertama beraksi di dua final Piala AFC.

Beliau menjadi pemain bola sepak Malaysia pertama yang bermain dalam Liga Super Indonesia dengan Pelita Raya Jaya.

Selain Safee dan Team Haq, penyanyi rock terkenal tanah air, Datuk Amy Search dan bintang muda Anna Jobling pula bakal menggegar Konsert Anak Muda Gegor Bera yang berlangsung di Dataran Kerayong, di sini, pada pukul 8.30 malam.

Turut berkongsi pentas beberapa penyanyi terkenal tanah air dan artis seperti Hael Husaini, Nizam Laksamana, Fazli Zainal, Santesh dan Lock Up.

Karnival yang bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu diadakan bagi mencungkil bakat golongan belia dalam e-sukan, yang kini telah muncul sebagai kerjaya sukan di peringkat antarabangsa.

Menerusi acara Santai eGames anjuran Miat Quadra Esport Club, sebanyak 190 peserta daripada 38 pasukan berentap, termasuk melibatkan anak-anak muda seluruh Bera dan kawasan sekitarnya.

Karnival anjuran dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Pembangunan Manusia Berhad (HRDCorp) itu, antara lain turut melibatkan tawaran 2,000 kerja menerusi acara JaminKerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya