Pemain Perancis sangat kecewa, Deschamps pertikai pengadil

Pemain Perancis sangat kecewa, Deschamps pertikai pengadil

Didier Deschamps (kiri) dan kru jurulatih Perancis jelas kecewa selepas pasukan mereka tewas 0-2 kepada Sepanyol dalam aksi separuh akhir Piala Dunia di Stadium Dallas, Arlington, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARLINGTON (Texas): Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengakui barisan pemainnya sangat kecewa selepas impian menjulang gelaran Piala Dunia buat kali ketiga berkecai susulan kekalahan kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Pada masa sama, Deschamps turut mempersoalkan kemampuan pengadil dari El Salvador, Ivan Barton, untuk mengendalikan perlawanan sebesar separuh akhir Piala Dunia.

Perancis yang mempamerkan aksi menyerang sepanjang kejohanan dengan meledak 16 gol dalam enam perlawanan sebelum ini gagal menandingi kehebatan Sepanyol, yang menguasai permainan untuk melangkah ke pentas final.

“Kami sememangnya sangat kecewa. Para pemain amat kecewa kerana kami datang dengan cita-cita tinggi. Namun, kami juga perlu mengakui bahawa dari sudut teknikal, kami berada sedikit di bawah tahap Sepanyol, yang mengawal permainan dengan begitu baik.

“Bagaimanapun, kekalahan ini berpunca daripada kami sendiri. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa,” kata Deschamps selepas perlawanan di Stadium AT&T, Arlington, Texas.

Deschamps yang akan mengundurkan diri selepas tamat kejohanan itu bagaimanapun tidak melepaskan peluang mengkritik Barton, yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Sepanyol pada babak pertama selepas Lucas Digne mengasari Lamine Yamal.

“Saya hanya ingin mengemukakan satu soalan tanpa memberikan jawapan. Adakah pengadil itu benar-benar berada pada tahap yang diperlukan untuk mengadili perlawanan separuh akhir Piala Dunia?

“Dan saya bukan berkata demikian semata-mata kerana kami kalah. Terdapat beberapa keputusan yang boleh dipersoalkan, walaupun ada juga keputusan yang memihak kepada kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN