Prestasi kerajaan jadi ukuran pengundi atas pagar - Utusan Malaysia

Prestasi kerajaan jadi ukuran pengundi atas pagar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan mempengaruhi sokongan pengundi atas pagar di Negeri Sembilan yang kini lebih menilai prestasi semasa Kerajaan Perpaduan.

Penyelidik Kajian Geopolitik dan Elektoral Borneo (GeoPES), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, kemenangan di Johor hanya memberikan momentum psikologi dan suntikan moral kepada jentera BN Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, katanya, perubahan landskap politik di Negeri Sembilan susulan beberapa perkembangan dalam Kerajaan Perpaduan menyebabkan sentimen kemenangan di Johor bukan lagi faktor utama yang mempengaruhi kecenderungan pengundi atas pagar.

“Impak kemenangan BN di Johor terutama terhadap pengundi atas pagar di Negeri Sembilan adalah sangat terhad kerana landskap politik di Negeri Sembilan telah berubah secara drastik sejak insiden melibatkan Yang di-Pertuan Besar dan pertentangan antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan negeri.

“Saya yakin pengundi atas pagar kini lebih dipengaruhi oleh prestasi semasa Kerajaan Perpaduan, isu kestabilan ekonomi domestik serta formula kerjasama tempatan berbanding sentimen kejayaan di Johor.

“Kemenangan besar BN dalam PRN Johor sememangnya menyediakan BN Negeri Sembilan dengan platform serta momentum psikologi dan suntikan moral kepada jentera parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas desas-desus Khairy Jamaluddin sebagai poster boy BN bagi PRN Negeri Sembilan, Syahruddin berkata, langkah itu berpotensi mencetuskan konflik hierarki dalam struktur kepimpinan UMNO negeri.

Katanya, kedudukan Penge­rusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias boleh terjejas dari sudut politik dan pentadbiran sekiranya tokoh lain diketengahkan sebagai wajah utama parti dalam menghadapi pilihan raya.

“Langkah mempromosikan tokoh kepimpinan lain selain Jalaluddin akan memberi kesan kepada aspek kesediaan dan kerjasama dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-BN Negeri Sembilan serta boleh menurunkan kredibiliti beliau dalam mengemudi jentera pilihan raya.

“Situasi ini juga mampu mencetuskan boikot dalaman serta kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi mengenai calon Menteri Besar yang sebenar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN