Konsert? Perancangan saya tahun depan - Ning Baizura - Utusan Malaysia

Konsert? Perancangan saya tahun depan – Ning Baizura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas lebih tiga dekad mengukuhkan nama dalam industri muzik tanah air, penyanyi, Ning Baizura mendedahkan dia sudah memasang niat untuk merealisasikan impian peminatnya untuk melihatnya beraksi di konsert solo.

Terharu dengan sambutan peminat ketika membuat kemunculan di konsert sahabat seperjuangannya, Nourul Depp pada Mei lalu, penyanyi bersuara soprano itu tidak sabar untuk sajikan persembahan 

Namun, Ning menegaskan dia tidak mahu menyajikan persembahan ala kadar, bahkan enggan mengikut ‘trend’ semasa, sebaliknya dia mengadakan sebuah konsert yang melalui proses persiapan yang rapi dan berkualiti. 

“Alhamdulillah, memang ramai yang meminta saya buat konsert. Tetapi kita perlu tahu, untuk buat konsert bukanlah semudah yang disangka. Semuanya perlu dirancang dengan teliti.

“Kalau ikutkan, tahun ini genap 35 tahun saya berada dalam industri. Saya bukan jenis yang suka buat kerja separuh jalan. Kalau saya buat, saya mahu buat sebaik mungkin. Insya-Allah, perancangan saya adalah tahun depan.

“Sekarang saya sedang mengumpulkan penaja supaya nanti kami dapat menghasilkan sebuah persembahan yang besar dan benar-benar berbaloi untuk peminat. Rasanya sudah lebih 15 tahun saya tidak mengadakan konsert seperti itu.

“Ramai artis sekarang mengadakan konsert, tetapi saya bukan jenis yang suka mengikut trend. Apa yang membuatkan saya lebih yakin ialah apabila melihat sambutan terhadap konsert Nourul baru-baru ini,” katanya.

Enggan menghampakan peminat, penyanyi lagu Awan Yang Terpilu itu turut mengakui dirinya juga sudah mempunyai konsep untuk diketengahkan pada malam istimewa itu nanti. 

“Saya mempunyai banyak lagu dari album yang terdahulu dan sekarang saya sedang memilih lagu mengikut segmen persembahan. Saya juga sudah fikirkan satu konsep yang berbeza, tetapi masih berkisar tentang ‘heritage’ atau warisan.

“Konsep itu akan membawa penonton mengenali asal-usul saya. Ramai orang tidak tahu bagaimana perjalanan hidup saya bermula. Saya mahu peminat merasakan mereka mendapat sesuatu yang benar-benar berbaloi,” kongsinya. 

Sibuk di belakang tabir

Selain terus aktif sebagai penyanyi, Ning kini telah mengembangkan kerjayanya dalam bidang pengurusan acara dan penganjuran konsert.

Katanya, pengalaman tersebut memberikan dirinya perspektif berbeza mengenai dunia hiburan, selain menjadi platform untuk menimba ilmu sebelum menganjurkan konsert sendiri.

“Sekarang saya sibuk menguruskan banyak acara. Alhamdulillah, menjadi penganjur acara (event organizer) kini memang menjadi minat saya. Saya mengendalikan banyak acara konsert dan projek seterusnya ialah persembahan sempena sambutan Tahun Baharu. 

“Itu memang projek pertama saya kerana saya menguruskan keseluruhan persembahan. Bukan sekadar membuat persembahan, tetapi saya juga mahu belajar selok-belok penganjuran konsert. 

“Sebelum saya mengadakan konsert sendiri, saya mahu memahami keseluruhan prosesnya supaya dapat menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman,” jelasnya. 

Ning juga memaklumkan dirinya kini sedang memberi tumpuan untuk menyiapkan proses pembikinan video muzik dan rakaman digital lagu terbaharunya yang berjudul, Aku dan Kamu.

“Sebelum ini, lagu terbaharu saya, Aku dan Kamu sudah keluar di sebuah program. Jadi, sekarang kami mahu keluarkan versi digital pula. 

“Selepas itu kami sedang menyiapkan video muzik Aku dan Kamu yang dijangka keluar pada bulan Ogos. Doakan semuanya berjalan lancar.

“Saya sebenarnya tidak pernah menghilang. Alhamdulillah, rezeki sentiasa ada. Saya masih terus berkarya, selain menjaga ibu yang menjadi antara sumber kekuatan saya sehingga hari ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN