Sabah tubuh pusat perlindungan tangani kanak-kanak mengemis

Sabah tubuh pusat perlindungan tangani kanak-kanak mengemis di jalanan

KANAK-kanak yang mengemis di jalanan di Lahad Datu.-UTUSAN/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mewujudkan pusat perlindungan sementara bagi menangani isu kanak-kanak palauh yang mengemis di beberapa daerah yang dikenal pasti di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM250,000 bagi mengubah suai sebuah rumah kerajaan di sini untuk dijadikan pusat perlindungan sementara.

Pusat yang akan menempatkan kanak-kanak palauh yang berkeliaran mengemis dan meminta sedekah itu dijangka mula beroperasi pada hujung tahun ini.

Pusat Perlindungan Sementara itu akan diselia melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am serta dibantu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sasaran kita adalah kanak-kanak Palauh yang akan ditempatkan secara bersama dengan penjaga atau berasingan yang ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh PBT secara berjadual dan bersasar.

“Kanak-kanak jalanan ini akan dihantar ke pusat perlindungan untuk pengasingan dalam tempoh maksimum sehingga tiga bulan,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) mengenai langkah menangani kanak-kanak berkeliaran dan mengemis di lampu isyarat dan tepi jalan.

Jawapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Menurut Hajiji, pusat itu juga akan menyediakan program khas yang menerapkan kemahiran mengenai pengurusan diri, kehidupan bermasyarakat dan pembelajaran rohani secara tidak rasmi.

Selepas tiga bulan, kanak-kanak tersebut akan dikembalikan kepada ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa atau penjaga juga perlu melalui proses amaran kelakuan dan larangan mengulangi kesalahan.

Tambah beliau, tiada satu jabatan atau agensi kerajaan yang mempunyai bidang kuasa menangani isu kanak-kanak mengemis di jalanan. Namun, agensi yang boleh mengambil tindakan adalah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Justeru, DBKK dan PBT akan terus berkolaborasi dan melaksanakan operasi bersepadu dengan agensi-agensi berkaitan bagi membanteras kewujudan kanak-kanak yang mengemis di jalanan ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya