PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan dakwaan seorang individu bahawa pihaknya memohon bantuan untuk penempatan terhadap seorang kakak-kanak di bawah jagaannya.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, JKM berkata, dakwaan dilemparkan itu tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan orang awam terhadap fungsi JKM serta prosedur penempatan kanak-kanak di bawah undang-undang.
Katanya, berdasarkan rekod, tiada penempatan rasmi kanak-kanak oleh JKM kepada individu terbabit pada tahun 2020 seperti yang didakwa.
“Penjagaan kanak-kanak tersebut merupakan pengaturan persendirian antara ibu kandung dan individu terbabit tanpa penglibatan JKM.
“JKM Kuala Lumpur hanya menerima rujukan kes pada 29 April 2022 bagi tujuan khidmat nasihat berkaitan status penjagaan serta dokumentasi. Setelah itu, JKM melalui Pelindung telah melakukan siasatan dan penilaian menyeluruh selaras dengan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak dan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611],” katanya hari ini.
Menurut JKM, pada 3 Ogos 2022, Mahkamah bagi Kanak-Kanak telah mengeluarkan perintah di bawah perenggan 30(1)(b) dan subseksyen 30(8) Akta 611 kepada individu berkenaan sehingga kanak-kanak mencapai umur 18 tahun.
“Perintah ini dikeluarkan setelah mengambil kira Surat Akuan Bersumpah (SD) persetujuan penyerahan kanak-kanak oleh ibu kandung, serta kehadiran dan persetujuan bersama antara individu berkenaan dan ibu kandung kanak-kanak,” katanya.
Menurut jabatan itu lagi, pihaknya sentiasa memastikan setiap kes yang dirujuk dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan bagi menjamin kesejahteraan kanak-kanak.
“Sehubungan dengan itu, JKM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham terhadap peranan JKM serta kesejahteraan kanak-kanak yang terlibat.
“JKM sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab berteraskan integriti, profesionalisme dan kedaulatan undang-undang,” katanya. –UTUSAN










