Saarani sah Menteri Besar Perak baharu

Saarani angkat sumpah Menteri Besar Perak

SAARANI Mohamad, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 di Istana Iskandariah dekat Bukit Chandan di sini.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada pukul 5.30 petang tadi.

Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

Saarani, 61, yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam hadir diiringi isterinya, Datin Aezer Zubin.

Antara pemimpin parti yang hadir, Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Mujahid Yusuf; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari; Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang dan Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd. Hafez Sabri

Turut hadir, beberapa ADUN BN dan PH yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) . 

Terdahulu, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak memaklumkan BN bersetuju menjalin kerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan negeri baharu di Perak.

Menerusi gabungan itu katanya, BN dan PH mempunyai kerusi yang mencukupi iaitu 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana melepasi angka majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Istiadat mengangkat sumpah itu mengakhiri persoalan dan teka-teki berhubung parti mana yang akan mentadbir kerajaan negeri berikutan tiada parti memperoleh majoriti mudah 30 daripada 59 kerusi DUN di Perak pada pilihan raya umum kelmarin.

Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) hanya menang 26 kerusi DUN manakala PH dengan 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.

Keputusan pada PRU15 menyaksikan Saarani menewaskan lawannya di kerusi DUN Kota Tampan, Jamil Yahya daripada PN dan Mohd. Sabri Abdul Manaf daripada PH dengan majoriti 1,237 undi.

Saarani memperoleh 5,468 undi manakala Jamil 4,231 undi dan Mohd. Sabri 1,637 undi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya