PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah demokrasi Malaysia apabila dijangka berlaku pertembungan sekurang-kurangnya empat penjuru membabitkan 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Setakat ini, situasi itu sekali gus bakal menyaksikan hampir 888 calon bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan jumlah ini tidak termasuk penyertaan calon daripada parti bergerak solo dan bebas.
Penambahan baharu gabungan politik iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), di samping Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), secara tidak langsung mengubah hala tuju semasa politik Malaysia.
Malah, kehangatan PRU15 itu belum termasuk penglibatan parti-parti tempatan seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah serta parti lain yang dijangka bergerak solo seperti Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, PRU15 hanya menjadi sengit sekiranya peratusan keluar mengundi melebihi 75 peratus sekali gus memberi kelebihan kepada semua parti yang bertanding.
Bagaimanapun, katanya, pilihan raya umum (PRU) itu kurang menyengat jika peratusan keluar mengundi rendah bawah 65 peratus sekali gus hanya memberi saingan sengit antara BN dan PH sahaja.
Beliau menjelaskan, pertembungan empat penjuru memberi kelebihan kepada PH sekiranya peratusan meningkat dan sekiranya kurang, BN pula mendapat tempias.
“Lagi banyak parti dan calon adalah baik untuk demokrasi, tetapi juga sama penting untuk menyakinkan pengundi agar keluar pada 19 November ini untuk meraikan kehadiran dalam kalangan mereka yang bertanding.
“Tidak dinafikan PRU15 dikatakan sengit dengan penyertaan banyak politik, tetapi jika peratusan keluar mengundi lebih 75 peratus dan mungkin beri kelebihan kepada PN dan GTA selain BN dan PH yang mempunyai ahli dan penyokong ramai,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh penamaan calon dan hari pengundian pada 19 November berikutan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang.
Lebih 21 juta pengundi berdaftar dijangka mengundi dan daripada jumlah itu, seramai 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 tahun hingga 20 tahun, manakala baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas.
Dalam pada itu, Noor Nirwandy menolak tanggapan pertembungan empat penjuru boleh mempengaruhi jumlah keluar mengundi pengundi muda yang mungkin terkeliru untuk memilih calon dan parti memandangkan daya penarik mengundi bergantung kepada sentimen dan isu semasa.
Ini kerana katanya, pengundi atas pagar dan muda akan menilai terlebih dahulu kelebihan calon yang diketengahkan oleh setiap parti dalam situasi pertembungan pelbagai penjuru.
Katanya, golongan berkenaan akan melihat tiga kriteria calon iaitu berwibawa, popular dan muda yang menjadi faktor penentu kemenangan parti bertanding.
“Jika calon itu popular dan mempunyai daya tarikan seperti calon BN, Khairy Jamaluddin di Parlimen Sungai Buloh, mungkin boleh menarik sokongan khususnya pengundi atas pagar dan muda berbanding calon-calon lain,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai pembentukan kerajaan sekiranya Parlimen tergantung, pengamal undang-undang, Datuk Ikbal Salam berkata, Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa budi bicara melantik Perdana Menteri berdasarkan pertimbangan Seri Paduka iaitu seorang anggota Dewan Rakyat berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Katanya, situasi itu berlaku sekiranya dalam kalangan gabungan parti politik gagal memperoleh majoriti mudah atau sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.
“Sungguhpun Agong mempunyai kuasa yang agak meluas untuk menentukan siapakah ahli Parlimen yang mempunyai majoriti untuk menjadi Perdana Menteri, namun Perlembagaan Persekutuan tidak pula menyatakan mekanisme bagi menentukan bagaimana seseorang Ahli Parlimen itu mempunyai kepercayaan majoriti.
“Maka, dalam situasi ini tentunya rakyat Malaysia bergantung kepada kebijaksanaan Seri Paduka untuk melakukan semua ujian yang difikirkan sesuai manfaat untuk mendapat kepastian tersebut,” katanya.
Ikbal menambah, sebagai contoh kebijaksanaan Seri Paduka diperlihatkan sebaik sahaja kejatuhan kerajaan PH ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 2020 apabila Agong memanggil semua ahli Parlimen dan setelah mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja, akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri. – UTUSAN










