PRU15: Nilai semula peraturan kenakan permit untuk calon adakan 'walkabout' - Utusan Malaysia

PRU15: Nilai semula peraturan kenakan permit untuk calon adakan ‘walkabout’

ANTHONY Loke bertemu orang ramai ketika program turun padang berkempen sempena PRU15 di Pasar Lebuh Cecil, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: DAP meminta polis Perak menilai semula peraturan yang dikenakan kepada semua calon di negeri itu supaya mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum mengadakan program turun padang (walkabout).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, peraturan sebegitu hanya akan menyusahkan calon ketika berkempen malah perkara sedemikian tidak pernah dikenakan kepada mana-mana calon pada pilihan raya sebelum ini.

“Perkara ini mengarut (permit untuk adakan walkabout), saya telah bertanding lima pilihan raya sebelum ini, tapi tidak ada peraturan begini, permit hanya dikenakan apabila kita adakan perhimpunan atau ceramah.

“Kita meminta pihak polis menilai semula peraturan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak ada peraturan sebegitu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan ‘walkabout’ di Pasar Lebuh Cecil, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan polis Perak yang menetapkan calon atau ejen untuk mendapatkan permit daripada Ketua Polis Daerah sebelum program ‘walkabout’ dijalankan di negeri itu.

Menurut kenyataan itu, sekiranya calon didapati berkempen dan berkempen secara terbuka tanpa permit atau gagal mematuhi syarat permit, calon atau ejen tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 24 (B) Akta 5.

Menurut Anthony, sepanjang program ‘walkabout’ dijalankan tidak pernah berlaku kejadian buruk terhadap calon atau mana-mana pihak.

“Kita sebagai calon ini orang ramai minta swafoto sahaja, tidak ada yang serang kita, mereka datang untuk tangkap gambar kita, jadi tidak ada kekhuatiran untuk program ‘walkabout’.

“Ini juga bukan pilihan raya pertama kita, kalau kita bertembung dengan calon daripada parti lain pun kita tak bergaduh, malah kita tidak berbahas pun di depan orang ramai,” katanya.

Tambah beliau, budaya politik di negara ini sudah matang dan peraturan untuk mengenakan permit bagi setiap program ‘walkabout’ itu hanya akan menambahkan kerenah birokrasi serta menyusahkan calon.

Dalam pada itu, ditanya sama ada DAP akan mengikut langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menetapkan syarat setiap calonnya perlu melakukan pengisytiharan harta, Anthony berkata, DAP tidak mempunyai polisi sedemikian terhadap calon-calon pilihan raya mereka.

“Sekiranya kita dipilih sebagai Kerajaan Pusat, dan sebelum kita dilantik sebagai Menteri, kita akan umumkan, ini yang kita amalkan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya