PRU15: 6 kertas siasatan dibuka polis Pulau Pinang setakat ini - Utusan Malaysia

PRU15: 6 kertas siasatan dibuka polis Pulau Pinang setakat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebanyak enam kertas siasatan telah dibuka polis Pulau Pinang berhubung laporan jenayah dan kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setakat hari ini.

Jurucakap Media PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang berkata, sejak hari penamaan calon sehingga hari ini juga, polis menerima 20 laporan berhubung PRU15.

”Setakat ini sebanyak enam kertas siasatan dibuka dan antaranya melibatkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat); Seksyen 323 Kanun Keseksaan (cederakan); Seksyen 324 Kanun Keseksaan (serang dan mencederakan) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan(khianat).

“Selain itu, polis turut membuka kertas siasatan melibatkan Seksyen 500 Kanun Keseksaan(fitnah)/233 Akta Akta Komunikasi Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jurucakap tersebut memaklumkan, polis turut menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kerana disyaki memeras ugut pengadu yang ingin memasang bendera di Jalan Padang Tembak, Ayer Itam di kawasan Parlimen Bukit Bendera.

“Lelaki tempatan ini disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, polis juga telah mengeluarkan sebanyak 167 permit kepada semua parti politik dan calon Bebas yang mahu mengadakan ceramah bagi tujuan kempen.

“Daripada jumlah itu, satu permit ditolak oleh pihak polis kerana calon menghantar borang lambat.

“Setakat ini, aktiviti kempen berjalan lancar, malah tiada insiden yang serius dilaporkan,” katanya.

Tambahnya, polis juga menasihatkan semua pihak termasuk penyokong parti mereka menghormati antara satu sama lain.

“Semua pihak diminta tidak melakukan kerosakan seperti membakar atau mencabut poster, kain rentang dan bendera mana-mana parti politik.

“Jika mempunyai sebarang masalah, mereka boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan berlandaskan undang-undang yang sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya