Polis tahan tiga lelaki rempuh kenderaan jentera BN 

Polis tahan tiga lelaki rempuh kenderaan jentera BN 

TIGA suspek lelaki ditahan polis selepas terlibat dengan satu perbuatan khianat dan memandu secara gopoh di Taman Mount Austin, Johor Bahru, awal pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan tiga lelaki yang terlibat dengan satu perbuatan khianat dan memandu secara gopoh di Taman Mount Austin, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 34 hingga 35 tahun itu ditahan awal pagi tadi.

“Semalam, pengadu memaklumkan ketika dia dan rakannya sedang melakukan kerja membaiki ‘billboard’ kempen sebuah parti politik di Taman Mount Austin pada pukul 4.30 pagi, kenderaan mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan berpunca daripada salah faham antara suspek yang menganggap kereta dinaiki pengadu adalah dinaiki tiga warga asing yang berselisih faham dengan mereka di sebuah restoran sebelum itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek kini dikenakan tahanan reman selama dua hari bermula hari ini.

“Semakan rekod mendapati salah seorang daripada tiga suspek mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong yang juga calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Tebrau berkongsi satu video menerangkan kejadian yang berlaku dalam laman Facebook rasmi miliknya, semalam.

Berdasarkan video berkenaan, mangsa ketika itu sedang membaiki bahan kempen BN di Taman Mount Austin sebelum kenderaan mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda dinaiki sekumpulan suspek lelaki.

Difahamkan, kerana bimbang tentang keselamatan, mangsa menaiki kenderaan untuk beredar sebelum terus dikejar sekumpulan lelaki yang menaiki beberapa buah kenderaan.

Kenderaan mangsa sekali lagi dirempuh kenderaan dinaiki suspek di Taman Daya, sebelum terus dikejar dan dirempuh sekali lagi di Taman Adda Heights menyebabkan kenderaan mangsa terbabas di pembahagi jalan.

Akibat kejadian tersebut, mangsa yang ketakutan bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebelum membuat laporan polis tidak lama kemudian.

Nicole turut memberikan peringatan agar semua pihak berpolitik secara matang ekoran kejadian berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN