Polis SPT tutup jalan utama ke tiga pusat penamaan calon

PRU15: Polis SPT tutup jalan utama ke tiga pusat penamaan calon Sabtu ini

TAN Cheng San menunjukkan peta laluan yang ditutup sempena proses penamaan calon untuk Parlimen Permatang Pauh di IKTBN Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Sabtu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Beberapa jalan utama dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Batu Kawan akan ditutup seawal pukul 6 pagi, Sabtu ini bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, bagi kawasan Permatang Pauh, jalan yang akan ditutup ialah berhadapan pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam iaitu Jalan Berapit.

Katanya, jalan itu akan ditutup untuk semua kenderaan bermula dari Taman Bukit Noning di sebelah kiri selain jalan berhampiran Simpang Tiga Mengkuang-Berapit di sebelah kanan.

“Bagi kawasan Parlimen Bukit Mertajam yang pusat penamaan calonnya terletak di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, jalan yang akan ditutup ialah Jalan Betek.

“Maknanya, mana-mana kenderaan yang melalui kawasan itu akan dilencongkan ke kawasan simpang tiga Desa Wawasan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng San berkata, bagi kawasan Parlimen Batu Kawan yang melibatkan kawasan penamaan calon di Dewan Kolej Vokasional Seberang Perai, jalan yang akan ditutup ialah Jalan Bukit Minyak di hadapan lokasi tersebut manakala jalan lain adalah simpang ke Taman Bukit Minyak 2 di sebelah kanan dan simpang ke Taman Bukit Minyak 1 di sebelah kiri.

“Kita jangkakan penutupan jalan ini akan dibuat sehingga selewat-lewatnya pukul 1 petang  bergantung kepada proses penamaan calon di lokasi yang ditetapkan.

“Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan masing-masing dan tidak perlu melalui jalan-jalan yang disebutkan itu jika tiada keperluan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menganggarkan hampir 300 anggota polis dari IPD Seberang Perai Tengah akan ditempatkan di ketiga-tiga lokasi pusat penamaan calon itu Sabtu ini.

“Saya berharap segalanya berjalan lancar tanpa sebarang provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan pada hari penamaan calon di ketiga-tiga lokasi ini,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya