JOHOR BAHRU: Polis menahan 22 individu dipercayai pengedar dadah termasuk dua wanita warganegara asing dalam serbuan di beberapa daerah di negeri ini bermula 28 Oktober hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi meliputi 17 serbuan di sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Kota Tinggi.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 19 lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan dua wanita warganegara asing yang berusia antara 19 tahun hingga 39 tahun.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melancarkan Op Khas dan terancang di beberapa daerah seluruh negeri ini bertujuan menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah. Menerusi siri serbuan yang dijalankan, polis menahan 22 suspek dan merampas pelbagai dadah bernilai RM1.6 juta, antaranya 7.02 kilogram (kg) syabu, 5.80 kg heroin, 489.30 gram (g) ketamin, 305.80 g serbuk ekstasi dan 114.13 g pil eramin.
“Selain itu, polis menyita wang tunai berjumlah RM145,458, lapan buah kereta, dua utas jam tangan, 14 barang kemas dan 23 unit telefon bimbit bernilai RM1.09 juta. Ini menjadikan rampasan dadah dan sitaan bernilai keseluruhan RM2.75 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah dengan menjadikan kediaman yang berpagar dan pengawal sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum bahan terlarang itu diedar ke kawasan sekitar menggunakan motosikal.
“Sindiket ini juga dipercayai telah bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini. Keseluruhan dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan oleh seramai 68,048 penagih. Semua suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN










