Polis Kelantan lupus dadah bernilai RM47 juta 

Polis Kelantan lupus dadah bernilai RM47 juta 

MUHAMMAD Zaki Harun menunjukkan dadah yang akan dilupuskan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini.UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan akan melupus pelbagai jenis dadah bernilai RM47 juta melibatkan sebanyak 4,399 kertas siasatan selepas mendapat perintah mahkamah dan melepasi peringkat rayuan sepanjang tempoh 14 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dadah yang akan dilupuskan itu terdiri daripada jenis heroin, ganja, pil kuda, syabu, ekstasi termasuk ketum yang dirampas bermula 2008 sehingga tahun ini.

Menurutnya, kesemua barang kes itu akan dilupuskan di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn. Bhd. di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan esok.

“Pelupusan dadah itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang ditetapkan.

“Hasil daripada tangkapan dan rampasan dadah itu, ia turut melibatkan sitaan harta bernilai RM41 juta termasuk kenderaan, wang tunai, barang kemas dan wang dalam akaun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, semua barang kes itu diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Katanya, pada masa sama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan merekodkan sebanyak 9,018 kes membabitkan 11,115 tangkapan dengan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM49.83 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ujarnya, nilai sitaan aset pengedar pula dianggarkan berjumlah RM3.9 juta dan seramai 73 individu berusia 25 hingga 45 tahun ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Polis turut mengambil tindakan terhadap 511 orang penagih tegar atau berulang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya